SUBANG - Infrastruktur dan teknologi Institut Perubatan Penerbangan (IPP) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara yang terbaik di dunia melahirkan juruterbang berkualiti tinggi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini dibuktikan apabila IPP turut menarik minat tentera udara dari Australia, Thailand dan Filipina yang mendapatkan khidmat latihan di institut berkenaan.

Difahamkan, terdapat lebih 10 negara antaranya India, Brunei dan Pakistan yang turut menyatakan hasrat mendapatkan latihan bagi juruterbang mereka di IPP.

“Ini menunjukkan kita mempunyai kepakaran dan kelebihan berbanding negara maju yang lain.

“Selain itu, melalui IPP ini, ia secara tidak langsung dapat menyiapsiagakan anggota TUDM meliputi kesihatan mental dan fizikal, meningkatkan kemahiran dan keupayaan anggota dalam mengendalikan sesebuah pesawat,” katanya selepas melawat IPP di Pangkalan TUDM Subang.

IPP berperanan menyediakan pelbagai bentuk latihan aerofisiologi dan kaji selidik terhadap juruterbang dan anak-anak kapal TUDM.

Antara latihan aerofisiologi yang disediakan ialah ‘High G Training’, ‘Hypoxia Indoctrination’, Latihan Kerusi Anjal serta Latihan ‘Spatial Disorientation’.

Lawatan kerja sehari itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Semasa lawatan itu, Hishammuddin turut meninjau aset TUDM antaranya Helikopter Nuri (Sikorsky S-61A4) pesawat pengangkut C130H dan pesawat pejuang Hawk 208 yang sedang melalui proses naik taraf.

“Kesemua pesawat ini sedang melalui proses naik taraf secara berperingkat yang membolehkan ia terus memenuhi keperluan pengoperasian... Ia sekali gus dapat memastikan keupayaan TUDM dalam menjaga ruang udara negara berada pada tahap tertinggi.

“Di samping itu, dengan menaik taraf pesawat ini secara tidak langsung meningkatkan semangat anggota dalam memberi perkhidmatan yang terbaik dalam menjaga keselamatan negara.

"Saya berharap projek naik taraf ini diselesaikan segera serta memenuhi piawaian dan perancangan yang telah ditetapkan,” katanya. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Aset ketenteraan yang berada di Pangkalan Udara Labuan sentiasa diletakkan di tahap kesiap-siagaan tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pengganas seperti yang berlaku di Bandar Marawi, selatan Filipina, baru-baru ini.
  • KEPALA BATAS - Pangkalan Udara (PU) Sendayan di Negeri Sembilan yang merupakan pusat latihan terbesar bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal menempatkan 70 peratus skop latihan TUDM apabila siap sepenuhnya penghujung tahun ini.
  • IPOH - Belia bukan Melayu dari seluruh negara dialu-alukan untuk menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada masa hadapan.
  • IPOH - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dijangka menerima pesawat baharu sebelum berlangsungnya Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima), 2017.