SUBANG JAYA - Kerajaan sedang dalam proses menubuhkan Inisiatif Kepemimpinan Wanita untuk meningkatkan daya saing wanita dalam sektor awam dan korporat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, melalui inisiatif ini, wanita akan diberi latihan, dorongan dan kepemimpinan untuk menduduki jawatan pengurusan tertinggi.

Menurut, langkah itu selaras dengan sasaran kerajaan menggalakkan 30 peratus wanita dalam jawatan pembuat keputusan.

"Namun perlu juga ditegaskan  bahawa jawatan pengurusan tertinggi mesti diberikan berasaskan merit dan bukan kuota semata-mata," katanya semasa melancarkan Persidangan Persatuan Wanita TNB (Pelitawanis) 2018 hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Azman Mohd; Yang Dipertua Pelitawanis, Datin Seri Noor Afizah Ahmad Noor dan Ahli Lembaga Pengarah TNB, Ghee Siew Yoong.

Wan Azizah berkata, wanita kini telah diberi kepercayaan di peringkat membuat keputusan termasuklah sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, Gabenor Bank Negara, Hakim-hakim, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Naib Canselor dan pelbagai lagi jawatan tertinggi yang dahulunya hanya dimonopoli oleh kaum lelaki.

"Saya menyeru wanita-wanita semua, yang masih berpeluang, tingkatkan prestasi dan produktiviti kerja anda.

"Teruskan usaha untuk meningkatkan jumlah wanita yang memegang  jawatan di peringkat pembuat keputusan." katanya.

Wan Azizah menambah, bagi suku ketiga tahun 2018, penglibatan wanita dalam tenaga buruh di Malaysia adalah 55.5 peratus mewakili seramai 5.78 juta orang.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.8 peratusan mata daripada 54.7 peratus kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia bagi tahun 2017.

"Kerajaan mensasarkan peningkatan kepada 56.5 peratus tenaga buruh wanita pada tahun 2020," katanya.

Dalam pada itu, Wan Azizah juga memberitahu, kerajaan amat komited untuk terus menggerakkan agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita agar mereka dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masing-masing.

"Bagi mereka yang ingin bekerja dari rumah, konsep ‘pejabat di rumah’, boleh dijadikan asas untuk menggalakkan wanita yang mempunyai keluarga untuk bekerja sendiri.

"Ia merupakan satu langkah menerapkan nilai keusahawanan dan perubahan minda dengan melihat cara bekerja tersebut sebagai alternatif, tanpa meninggalkan urusan atau tanggungjawab mengurus rumahtangga," katanya.

Wan Azizah berkata, selain peluang yang disediakan, wanita perlu menerokai potensi diri sendiri dan beralih dari bidang kebiasaan mereka seperti perguruan dan kejururawatan.

"Pengembangan tenaga wanita hendaklah tidak terbatas kepada sektor-sektor tradisional, malah harus menembusi semua sektor dan lapisan ekonomi, sosial, politik dan budaya.

"Pencapaian dalam pendidikan disertai tabiat ketekunan, telah membolehkan wanita menembusi tembok-tembok penghalang karier mereka," katanya lagi.

Wan Azizah menyambut baik usaha Pelitawanis menganjurkan Persidangan Pelitawanis TNB Melopor Dunia Keusahawanan 2018.

"Usaha strategik seperti ini perlu dilakukan bagi menarik lebih ramai wanita terlibat dengan kegiatan ekonomi dan menyertai pelbagai bidang pekerjaan," katanya lagi.

Persidangan itu dianjurkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Pelitawanis berlangsung selama tiga hari bermula hari ini diadakan bertujuan bagi menggalakkan minda keusahawanan dalam kalangan ahlinya yang terdiri daripada isteri kakitangan TNB dan petugas wanita syarikat utiliti itu.