KUALA LUMPUR - Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2017 adalah sebanyak RM685.1 bilion atau 50.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kementerian Kewangan dalam jawapan lisan berkata, kerajaan terus komited untuk memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK.

"Daripada jumlah berkenaan, 96.7 peratus atau RM662.4 bilion adalah hutang domestik manakala 3.3 peratus atau RM22.7 bilion merupakan pinjaman luar pesisir.

"Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana," katanya.

Kementerian itu menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) yang meminta Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyatakan jumlah hutang negara dalaman serta luaran dan menyenaraikan 10 pemiutang terbesar kerajaan dan pinjaman yang diberikan oleh setiap pemiutang.

Dari segi pemiutang atau pegangan hutang kepada Kerajaan Persekutuan, RM496.2 bilion atau 72.4 peratus bon dan sukuk kerajaan dipegang oleh pelabur domestik.

"Pelabur terdiri daripada institusi yang kukuh dan berjangka panjang seperti Bank Negara dan institusi perbankan iaitu sebanyak 29.7 peratus, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (27.2 peratus), syarikat insurans (4.5 peratus) Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (3.5 peratus), institusi kewangan pembangunan (3 peratus), institusi kewangan bukan (0.1 peratus) dan lain-lain (4.4 peratus).

"Manakala baki RM188.8 bilion atau 27.6 peratus dipegang oleh bukan pemastautin seperti pengurus dana/aset (10 peratus), bank pusat, supranasionaln dan kerajaan (8.5 peratus), dana persaraan (4.8 peratus), institusi perbankan (2.3 peratus), syarikat insurans (0.8 peratus), institusi dua hala dan pelbagai hala dan lain-lain (1.2 peratus)," ujarnya.

Untuk memastikan paras hutan Kerajaan Persekutuan kekal rendah dan terurus, menurutnya, langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan bagi mengurangkan defisit secara berperingkat.