LANGKAWI - Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB) menetapkan sasaran untuk mempromosi 1,200 produk pelancongan unik negara tahun ini, menerusi platform Experience Host.

Presidennya, Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, platform diusahakan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu mula dibangunkan sejak dua bulan lepas bertujuan memajukan lagi usahawan pelancongan tanpa melibatkan modal besar.

“Melalui sesuatu program dipromosikan melalui platform dalam talian (secara Experience Host), mereka (pelancong boleh) membeli pakej khas dan unik,” katanya ketika ditemui selepas program pengenalan projek itu bersama Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi (Pelancongan Langkawi) di sini, hari ini.

Beliau berkata, promosi pelancongan berdasarkan pemaparan pengajaran dan pengalaman itu sudah digunakan secara meluas di beberapa negara lain menerusi platform seperti Airbnb dan Show Around tetapi masih kurang dimanfaatkan di negara ini.

“Sebab itu, kita mengambil langkah pergi ke Langkawi sebagai projek perintis. Kita bekerjasama dengan Pelancongan Langkawi untuk mengenal pasti usahawan yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pelancongan Langkawi, Ahmad Phisol Ishak berkata, hampir 100 penggiat industri pelancongan di pulau berkenaan mengambil bahagian dalam program dua hari itu yang mendedahkan mereka dengan pengetahuan asas promosi secara digital.

“Sekarang trendnya adalah (ekonomi) digital dan kita hendaklah menyesuaikan kaedah operasi kita selaras dengan keadaan semasa untuk ketengahkan produk yang kita ada,” katanya.

Menurutnya, peserta juga berpeluang menilai kembali pengajaran dari pengalaman lepas dalam membangunkan industri pelancongan selain mengelak sebarang kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Katanya pengajaran daripada pengalaman lepas selain memanfaatkan sepenuhnya kemajuan teknologi semasa akan membolehkan pengusaha pelancongan di pulau itu meningkatkan lagi permintaan terhadap produk pelancongan mereka. - Bernama