PETALING JAYA – Kerajaan akan meneruskan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sekiranya terma-terma dalam kontrak perjanjian itu boleh dirunding semula.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan wajar mengadakan rundingan semula dengan bagi mengurangkan kos pembinaan projek kereta api berkenaan.

“Idea untuk bangunkan projek ECRL ini terlalu awal, tapi jika terpaksa juga teruskan,kalau tidak boleh batalkan kontrak, maka kita perlu berunding untuk kurangkan kos,” katanya.

Beliau berpendapat, tidak mungkin kos untuk menyiapkan keseluruhan projek hanya menelan RM55 bilion.

Malah katanya terma perjanjian projek berkenaan juga tidak menguntungkan Malaysia.

“Oleh itu, semua terma dan syarat yang terkandung dalam perjanjian projek ECRL ini perlu diteliti dan dibincang semula.

“Jika kita (Malaysia) dapat berunding dapat kita dapat terma baharu yang lebih baik, tidak mustahil ECRL akan diteruskan,” tegasnya.

Sementara itu, Mahathir turut tidak berpuas hati dengan kaedah pembayaran projek berkenaan yang tidak bersandarkan kepada kemajuan pembinaan.

“Banyak syarat dan kaedah yang tidak betul dalam cara pelaksanaan dan pembayaran projek ECRL ini oleh kerajaan terdahulu.

“Kerajaan dulu pinjam duit RM55 bilion dari China, kita tak rasa kos ECRL RM55 bilion.

“Isu lain, mereka bagi kontrak pembinaan kepada syarikat China, bawa masuk pekerja dar China, jadi Malaysia dapat apa? Kita mesti bincang agar projek ini turut beri manfaat kepada Malaysia,” jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Malaysia telah pun membayar RM20 bilion untuk projek yang melibatkan jajaran landasan 688 kilometer namun, tidak mendedahkan perincian perjanjian kerana didakwa melibatkan ‘perjanjian tertutup’.

[ARTIKEL BERKAITAN: ECRL dirunding semula, HSR akan dikaji: Guan Eng]