PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sedia berdepan tindakan saman dan undang-undang yang mungkin diambil Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda terhadapnya.

Perkara itu berikutan kenyataan Arul Kanda yang menyifatkan Guan Eng tidak berlaku adil terhadapnya apabila mengeluarkan kenyataan umum yang didakwa memberi gambaran tidak tepat dengan situasi sebenar berhubung isu 1MDB, semalam.

“Arul Kanda telah membuat banyak janji, jadi jika dia kata mahu kemukakan saman, kita akan bersedia untuk (lawan) dia.

“Saya tak pasti sama ada dia benar-benar akan kemukakan saman itu, tapi dia bebas untuk melakukannya.

“Namun saya rasa dia perlu ingat bahawa dia ialah pekerja dalam 1MDB dan dia sekarang ini satu-satunya pekerja yang tinggal dalam 1MDB, dan 1MDB juga kini dimiliki Kementerian Kewangan,” katanya ketika sidang media, sebentar tadi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Menteri kewangan tidak adil: Arul Kanda]

Terdahulu, Guan Eng menyelar Arul Kanda dengan mendakwa sebagai seorang yang ‘tidak jujur’ dan ‘tidak boleh dipercayai’ selepas pertemuan mereka selama 40 minit di Kementerian Kewangan, kelmarin.

Arul Kanda, kemudiannya mengkritik kenyataan Guan Eng dan menafikan kenyataan berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘kenyataan yang cuba menjatuhkan reputasi peribadi’ dan menjelaskan akan berbincang dengan peguamnya untuk kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.