KUALA LUMPUR – Pemantauan perlu dilakukan terhadap majikan sektor swasta  supaya tidak berlaku diskriminasi ke atas pekerja wanita susulan pengumuman cadangan pelaksanaan  tempoh cuti bersalin mandatori yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet  2018.

Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) melahirkan kebimbangan bahawa langkah itu akan menimbulkan layanan berbeza kepada pekerja wanita. 

“Tempoh bersalin 90 hari itu relevan, tetapi saya khuatir sekiranya syarikat swasta cenderung akan lebih  memilih pekerja lelaki untuk mengelak mereka menanggung kerugian dari segi kewangan dan produktiviti pekerjaan.

“Jadi, kerajaan harus fikir satu kaedah bagaimana untuk memastikan tidak timbul diskriminasi, sekali gus majikan tidak ketepikan pekerja wanita malah mewujudkan peluang seimbang dengan pekerja lelaki,” katanya  ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat dasar pada persidangan Dewan  Rakyat, hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2018 Jumaat lepas, perdana menteri mengumumkan 2018 sebagai  Tahun Memperkasa Wanita dengan antara inisiatif ialah mencadangkan tempoh cuti bersalin mandatori  untuk sektor swasta dinaikkan daripada 60 ke 90 hari, seperti dilaksanakan dalam sektor perkhidmatan awam.

Noraini turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan pendekatan supaya syarikat  yang mempunyai pekerja seimbang antara lelaki dan wanita, diberikan insentif pengurangan cukai.

Persidangan bersambung esok. - BERNAMA