KUALA LUMPUR - Waktu mengajar guru dan membuat urusan di sekolah tidak mencecah 45 jam seminggu, sekaligus bukan faktor utama untuk dikaitkan sebagai bebanan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, guru di negara ini tidak terbeban dengan waktu bekerja hakiki sebagaimana peraturan yang ditetapkan agensi antarabangsa.

“Mengikut laporan International Level Organization (ILO) seseorang itu bekerja dia tidak boleh melebihi daripada 45 jam, dan daripada jumlah yang kita kira, waktu mengajar guru dan waktu-waktu lain (berada di sekolah) itu tidak sampai 45 jam seminggu.

“Cuma barangkali ada perkara yang disebut oleh yang berhormat (YB) ada kaitan antara guru itu dan kerja bukan hakiki,” katanya kepada Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Idris Ahmad (Pas - Bukit Gantang), di sini, semalam.

Idris meminta kementerian menjelaskan adakah bebanan tugasan guru di sekolah membuatkan golongan itu tidak cukup masa mendekati pelajar sehingga mengakibatkan pelajar terjerumus dalam masalah displin.

Menurut Mahdzir, kementerian boleh menyatakan spesifik jumlah tugasan yang dibuat guru selain mengajar sepenuhnya dalam bilik darjah, terutama membuat kerja masukkan data.

“Perkara ini akan diambil kira oleh kementerian dan kita akan perhalusinya,”katanya.

Mengulas lanjut berkaitan masalah displin pelajar, Mahdzir berkata, empat masalah paling serius yang berlaku dalam kalangan murid dan pelajar sekolah ketika ini adalah membabitkan gangsterisme, penyalah gunaan dadah, buli dan ponteng sekolah.

Katanya, kementerian mempunyai 5.1 juta pelajar di seluruh negara, hanya 442 pelajar dibuang sekolah kerana terlibat dalam masalah displin.

“Meskipun jumlah itu kecil, kementerian tidak pernah melihat perkara itu remeh, bahkan kami sentiasa berusaha membendung penularan masalah displin dengan kerjasama guru dan masyarakat.

"Ia membabitkan agensi seperti Polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Penjara Malaysia dan lain-lain,” katanya.

Katanya, apa jua tindakan yang diambil seboleh-bolehnya tidak akan sampai sehingga pelajar dibuang sekolah.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.