KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan pengguguran kes pendakwaan rasuah melibatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bukan disebabkan badan itu dikawal oleh kerajaan memerintah.

Sebaliknya menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, mahkamah yang memutuskan kes tersebut digugurkan dan bukannya keputusan SPRM mahupun pendakwaraya.

Katanya, Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan melepaskan dan membebaskan Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang  mewakili Guan Eng; Datuk V Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Li Koon, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

“Saya nak beritahu, untuk menarik balik atau tidak, ia terletak kepada kuasa pendawaraya. Ini bukan kali pertama belaku. Jabatan Peguam Negara akan menilai.

“Pendakwaraya tidak memohon untuk tarik balik kes. Mahkamah perintahkan Guan Eng dilepaskan dan dibebaskan. SPRM tiada kuasa untuk tarik balik kes,” katanya dalam temubual bersama Bernama Radio, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng bebas tuduhan rasuah]

Jadi Azam berkata, tidak munasabah andai SPRM mengikut telunjuk kerajaan memerintah hanya kerana mahkamah menggugurkan kes rasuah melibatkan Guan Eng.

Beliau menegaskan, SPRM tidak dikawal oleh sesiapa termasuk kerajaan memerintah dalam urusan memerangi jenayah rasuah.

“Kita siasat Guan Eng tidak kira ketika beliau sebagai pembangkang mahupun kerajaan. Kita siasat tidak lihat siapa individu itu.

“Kita siasat berdasarkan aduan dan maklumat yang diperoleh. Kalau saya boleh sebut, ramai kita siasat pemimpin dari pembangkang mahupun kerajaan. Tindakan SPRM mengikut lunas undang-undang,” katanya.