KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) akan melakukan penilaian terhadap sejumlah wang didakwa milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang perlu diperoleh semula dari luar negara sebaik ia menerima maklumat berkaitan.

Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat setakat ini.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersempena pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama Malaysia di sini, hari ini.

Menjawab pertanyaan lain, Muhammad berkata BNM juga telah mengambil langkah sewajarnya berhubung kes 1MDB yang tertakluk di bawah bidang kuasanya.

“Sama ada kita akan membuka semula kes itu dan melihatnya dari sudut yang berbeza, (saya rasa) kita telah menjalankan kesemua siasatan berkaitan.

“Jika ianya bukan di bawah undang-undang (BNM)...kita telah menyerahkan semua maklumat kepada pihak Peguam Negara,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan bahawa kerajaan dijangka menghubungi beberapa negara seperti Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat (AS) serta Luxembourg bagi mendapatkan kembali wang dana tersebut.

Daripada jumlah itu, Malaysia dijangka mendapatkan semula sejumlah USD4.5 bilion daripada AS yang disifatkan sebagai memadai bagi melunaskan hutang tertentu.

Selain itu, mengulas tindakan yang mungkin diambil terhadap Ambank Group (AMMB Holdings Bhd), Muhammad menegaskan bahawa sebarang tindakan sedemikian hanya boleh diambil jika ada menerima sebarang maklumat baharu.

“Setakat ini, kita telah mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan semua maklumat yang ada. Namun, jika ada data yang tidak diperoleh sebelum ini, sudah pasti kita akan meneliti kes itu semula,” katanya.

BNM hari ini mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2018, didorong oleh pertumbuhan aktiviti sektor swasta serta sokongan eksport bersih.

Bagi asas pelarasan musim suku ke suku, ekonomi negara ini telah meningkat sebanyak 1.4 peratus (suku keempat 2017: 1.0 peratus). - Bernama