SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun  Razak menafikan tuduhan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad berhubung dakwaan BN memaksa syarikat China untuk memberi 30 peratus saham syarikat mereka kepada orang tertentu.

Menjawab tuduhan itu, Najib menjelaskan bahawa dua projek infrastruktur yang dilaksanakan di bawah kerajaan BN lalu ialah projeck kereta api Pantai Timur ECRL yang  dianugerahkan kepada syarikat CCCC Ltd dan projek saluran paip petroleum kepada syarikat kepada syarikat China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB).

Katanya, syarikat CCCC Ltd ialah sebuah syarikat disenarai awam yang dikuasai oleh kerajaan China dan adalah syarikat yang amat besar di peringkat global dengan nilai penjualan AS$70 billion (RM280 bilion) setahun di seluruh dunia.

"Syarikat CPPB adalah sebuah syarikat pembina saluran paip petroleum terbesar di dunia dan dimiliki sepenuhnya oleh syarikat gergasi China National Petroleum Corporation (CNPC) yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan negara China. CNPC ialah syarikat yang keempat terbesar di dunia dengan nilai penjualan setahun di sekitar AS$300 bilion (RM1.2 trilion).

"Adakah masuk akal kononnya kerajaan BN meminta 30 peratus saham syarikat-syarikat kerajaan China sebagai sogokan? Adakah Tun Mahathir menuduh bahawa syarikat-syarikat gergasi milik kerajaan China bersubahat dengan kerajaan BN untuk melakukan jenayah rasuah?," katanya menjawab kenyataan Dr Mahathir hari ini dalam satu forum.

Terdahulu, hari ini di China, nada Dr Mahathir bagai berucap di ceramah politik di hadapan ahli perniagaan China dengan menuduh bahawa BN memaksa syarikat China untuk memberi 30 peratus saham syarikat mereka kepada orang tertentu.

Justeru kata, Najib Dr  Mahathir perlu berhenti bercereka dan tunjukkan bukti bahawa tuduhannya adalah benar dan sebagai seorang perdana menteri, seharusnya beliau berhenti bermain politik di hadapan pelabur-pelabur luar negara.