Kosmetik timbang kilo rosakkan buah pinggang, saraf

SHAH ALAM - Fenomena kosmetik timbang kilo yang dijual murah dan tular di media sosial dengan pelbagai dakwaan melampau berisiko menyebabkan kerosakan buah pinggang, sistem saraf serta gangguan hormon.
Pakar Perunding Perubatan dan Dermatologi, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Profesor Dr Rasimah Ismail berkata, produk berkenaan lazimnya tidak dinotifikasikan, dibungkus semula, tidak berlabel lengkap serta tiada maklumat pengilang yang jelas.
"Dari perspektif dermatologi dan kesihatan awam, kebanyakan kosmetik yang dirampas atau dibatalkan notifikasi didapati mengandungi bahan larangan, racun berjadual atau bahan ubat yang disalah guna.
"Bahan-bahan ini digabungkan untuk menghasilkan kesan cepat seperti pencerahan pantas, namun risikonya sangat serius dalam jangka masa sederhana dan panjang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob dilapor berkata, jualan kosmetik murah timbang kilo dijangka meningkat menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Beliau menegaskan, penjualan produk tersebut tidak dibenarkan di bawah Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana gagal memenuhi keperluan asas keselamatan.
Dalam pada itu Dr Rasimah menjelaskan, kebanyakan kosmetik timbang kilo mengandungi gabungan steroid, hydroquinone dan retinoid yang diiklankan memberi kesan dramatik dalam tempoh singkat.
Meskipun gabungan tersebut memberi kesan cepat, ia hanya bertahan sementara, namun kerosakan sebenar pada kulit berlaku secara berperingkat tanpa disedari.
"Golongan wanita mudah terpedaya dengan iklan-iklan produk berkenaan akibat tekanan sosial untuk memiliki kulit cerah.
"Bagi penjagaan lebih selamat, guna produk yang boleh memulihkan skin barrier dan mengawal pigmentasi secara lembut.
"Semak nombor notifikasi Kementerian Kesihatan, elak produk dibungkus semula dan jangan mudah percaya testimoni serta berwaspada dengan janji kesan segera," ujarnya.
Ringkasan AI
- Fenomena kosmetik timbang kilo berisiko menyebabkan kerosakan buah pinggang, gangguan hormon, dan sistem saraf
- Produk tersebut biasanya tidak dinotifikasikan dan tidak berlabel lengkap
- Kebanyakan kosmetik tersebut mengandungi bahan larangan seperti steroid, hydroquinone, dan retinoid
- Penjualan kosmetik timbang kilo meningkat menjelang Ramadan dan Aidilfitri, namun dilarang di bawah undang-undang Malaysia
- Pengguna disarankan menggunakan produk yang dapat memulihkan skin barrier dan mengelak produk dengan janji kesan segera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


