PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr  Ali Hamsa bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk projek perumahan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perbincangan itu merangkumi pelbagai masalah bangunan dan penyelenggaraan dihadapi penduduk di Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip).

Antara masalah ialah yuran kos penyelenggaraan yang merangkumi kemudahan dewan, rumah sampah, dan kerosakan lif serta penjagaan kebersihan kawasan sekitar, katanya selepas merasmikan mesyuarat agung pertama bagi penubuhan Persatuan Penduduk PPA1M Palma, Presint 11, di sini hari ini.

"Perkara sebegini harus dilihat secara serius  memandangkan perumahan tersebut masih baru. Kita faham rungutan ini dan mahu selesaikan secepat mungkin.

“Kerajaan Barisan Nasional sentiasa mengutamakan kesejahteraan penduduk dan kebajikan serta kos sara penduduk," katanya.

Hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail.

Justeru, Tengku Adnan meminta  pemilik  kediaman PR1MA, PPA1M dan Rumawip  mewujudkan persatuan penduduk dalam menyuarakan masalah dan cadangan agar masalah dapat diselesaikan dengan segera dan secara baik.

“Orang ramai boleh berbincang untuk mengadakan tadika atau pusat asuhan kanak-kanak di premis masing-masing.

“Saya yakin dengan keharmonian para penduduk untuk hidup bersatu dan saling bantu-membantu di tengah kepesatan ibu kota dapat mewujudkan persekitaran yang sihat," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Satu daripada fokus utama kerajaan BN adalah menyediakan perumahan mampu milik kepada setiap lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • PUTRAJAYA - Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dinasihatkan mendapatkan pengesahan secara bertulis daripada pihak atasan yang memberi arahan agar tidak dijadikan 'kambing hitam' sehingga didakwa terbabit rasuah, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.
  • KOTA BHARU - Harga rumah di Kelantan sama ada di bandar atau luar bandar mahal kerana pemaju bertindak menaikkan harga jualan apabila mendapat permintaan tinggi selepas sesuatu projek perumahan 50 peratus siap, kata Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu (PKM) Kelantan, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz.
  • BANGI - Perumahan generasi kedua luar bandar oleh Felcra, Risda dan agensi-agensi Wilayah dibawah kementerian akan dilancarkan pada Oktober nanti.