SHAH ALAM - Bersatu Shah Alam nekad membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, malam tadi, berhubung 'posting' di laman sosial Facebook dalam group PMS Parti Media Sosial yang menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam, Akbar Shah Manja Mustafa berkata, pihaknya menyedari kewujudan posting berkenaan pagi tadi dan merasakan posting berkenaan merupakan fitnah yang berbau hasutan.

Menurutnya, atas sebab itu seramai kira-kira 70 ahli Bersatu hadir ke IPD Shah Alam bagi sama-sama membuat laporan polis ini sebagai peringatan kepada mana-mana individu supaya tidak berani melakukan tindakan menghasut seperti ini.

"Posting ini bukan hanya melabelkan PM dengan label hasutan, bahkan mempersoalkan pihak berkuasa juga. Ini jelas menunjukkan hasutan oleh lima pengguna Facebook yang kita telah laporkan dan berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

"Individu ini telah menyalahgunakan platform teknologi yang mampu mengancam keselamatan negara," katanya kepada Sinar Harian, malam tadi.

Akbar berkata, tiada kekecohan berlaku semasa laporan polis dibuat dan kesemua ahli Bersatu yang hadir berada di luar perkarangan IPD Shah Alam dalam keadaan terkawal.

"Kita ini mewakili kira-kira 2,600 ahli Bersatu Bahagian Shah Alam yang mahu tindakan tegas diambil kepada individu yang membuat hasutan di laman sosial ini.