KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa memberi jaminan mengenai kebajikan anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya tidak menimbulkan kebimbangan setelah suruhanjaya itu dibubarkan.

Bekas Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, perkara itu perlu dibincangkan segera antara Kementerian Pengangkutan dan SPAD mengenai proses yang akan dilaksanakan itu.

“Keputusan pembubaran mana-mana agensi kerajaan adalah hak mutlak kerajaan dan tidak boleh dipertikaikan, namun penting buat kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai kedudukan anggota SPAD.

Ini bagi mengelak kekhuatiran dalam kalangan anggota SPAD mengenai nasib mereka, sama ada ditempatkan di tempat baharu atau diberhentikan kerja,” katanya, hari ini.

Syed Hamid juga meminta kerajaan memperhalusi skop tugas baharu yang diwujudkan ketika penubuhan SPAD, tapi kini akan dipindahkan ke Kementerian Pengangkutan.

Dalam pada itu, pemangku Pengerusi SPAD, Tan Sri Isa Samad berkata, beliau akur dengan keputusan itu dan percaya kerajaan sudah menimbangkannya dari pelbagai aspek sebelum membuat keputusan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat kabinetnya yang pertama hari ini mengumumkan beberapa agensi dan institusi berkaitan kerajaan termasuk SPAD dibubarkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.