PEKAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bantuan berterusan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan bertujuan menggalakkan rakyat terus bergantung kepada kerajaan, sebaliknya untuk membantu merangsang ekonomi tempatan.

Najib berkata BR1M yang diperkenalkan pada 2012 bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban rakyat, tetapi juga terbukti dapat merangsang ekonomi penduduk setempat apabila wang itu dibelanjakan di kedai-kedai, pasar tani atau pasar malam untuk membeli keperluan asas setiap hari.

Berucap pada program lawatan kerja dan ramah mesra bersama masyarakat setempat di pantai Kampung Nenasi di sini hari ini yang disertai lebih 1,000 penduduk, Najib berkata sebagai contoh, tahun ini sebanyak RM31.5 juta diperuntukkan kepada Parlimen Pekan untuk bayaran BR1M kepada 43,729 penerima.

"Kalau kita lihat memang pelbagai bantuan yang kita berikan. Bukan kerana kita mahu rakyat terus bergantung kepada kerajaan...kita mahu rakyat berdikari, terus bekerja keras.

"Namun sebagai ketua kerajaan, menjaga kebajikan rakyat hendaklah diutamakan kerajaan. Sebab itu selepas saya menjadi perdana menteri, pelbagai bantuan yang belum diperkenalkan saya laksanakan. –Bernama