TEMERLOH - Persatuan Anak-anak Peneroka Malaysia (Anak) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kira-kira jam 11.30 pagi semalam, yang mendakwa berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa oleh seorang pegawai tinggi Felda.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, pada 1 Oktober ini pegawai tinggi itu dikatakan akan dinaikkan pangkat untuk menggantikan seorang Datuk dan melangkaui beberapa lagi senior yang sepatutnya menyandang jawatan penting itu.

Menurutnya, terdapat tujuh dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa yang dibuat dalam laporan polis tersebut dan beliau mempunyai bukti lengkap berhubung kes salah laku yang melibatkan wang Felda terhadap pegawai itu.

“Saya sudah lama simpan (dokumen) ini namun tidak mahu dedah. Dan hari ini (semalam) saya tunaikan janji saya untuk dedahkan semua bukti itu. Saya pelik kalau sudah ada aduan ke SPRM tidak mungkin dengan begitu mudah beliau dilantik menduduki jawatan tinggi.

"Saya mahu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melakukan siasatan secara terperinci terhadap laporan yang dibuat ini bagi kepentingan semua pihak," katanya ketika ditemui sejurus membuat laporan polis, semalam.

Sementara itu, Mazlan turut mengedarkan beberapa dokumen yang didakwa menyenaraikan penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan pegawai tersebut kepada wakil media.

Sebelum ini, Mazlan menjelaskan sedia untuk mendedahkan siapa sebenarnya pegawai tinggi itu sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal untuk menilai semula pelantikan beliau untuk jawatan utama dalam Felda.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :