KOTA BHARU – Kitab suci Al-Quran dilengkapi dengan terjemahan kini boleh didapati dalam bentuk satu buku setiap juzuk (perjuzuk) terbitan Kumpulan Media Karangkraf memudahkan para pengguna memilih mana-mana juzuk yang dikehendaki untuk dibaca.

Penolong Pengurus Besar Jualan Group Buku Krangkraf, Roziyana Omar berkata, al-Quran yang dinamakan Ar-Riyadh Perjuzuk tersebut didatangi dalam lima warna menarik iaitu biru; hijau; merah, kuning dan ungu yang boleh dipilih mengikut cita rasa pengguna masing-masing.  

“Ar-Riyadh Perjuzuk mengandungi 30 buku mewakili setiap juzuk di dalam sebuah al-Quran. Al-Quran ini turut mempunyai terjemahan pada setiap perkataan dan dilengkapi dengan tajwid yang berwarna.

“Reka bentuk Ar-Riyadh Perjuzuk itu adalah keluaran terbaik dalam membantu para pembaca untuk mengaji al-Quran dengan lebih mudah,” katanya pada hari kedua Mini Karnival Karangkraf yang berlangsung di Kb Mall, di sini, hari ini.

Karnival dengan kerjasama Syarikat Muda Osman dan THR Gegar itu bermula kelmarin sehingga Sabtu dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Beliau berkata, kaedah ciptaan Ar-Riyadh Perjuzuk itu juga memudahkan para pengguna atau pelajar membawanya ke tempat belajar mengikut juzuk yang sedang dipelajari.

“Sekiranya sebelum ini, kalau hendak mengaji kita akan bawa al-Quran yang mengandungi kesemua 30 juzuk, tetapi kali ini dengan Ar-Riyadh Perjuzuk, pengguna boleh memilih juzuk mana yang dipelajari dan membawa juzuk itu sahaja.

“Baru sebulan berada dalam pasaran, Ar-Riyadh Perjuzuk laris dijual dan menjadi pilihan kerana kelebihan setiap satu buku yang sangat ringan dan nipis memudahkan pembaca untuk membacanya pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Roziyana berkata, al-Quran terjemahan itu berharga RM85, namun sempena karnival tersebut, Ar-Riyadh Perjuzuk boleh dimiliki dengan harga RM68 selepas diskaun sebanyak 20 peratus.

“Menarik lagi, pada Jumaat (esok) pada jam 4 petang akan diadakan Happy Hour dan Ar-Riyadh Perjuzuk akan dijual dengan harga yang benar-benar murah berbanding harga biasa mahupun harga diskaun di karnival ini.

“Hanya 20 al-Quran Ar-Riyadh Perjuzuk akan ditawarkan dalam tempoh itu dan dihadkan satu Ar-Riyadh Perjuzuk bagi setiap satu pembeli. Dalam masa sama al-Quran lain dan bahan bacaan lain juga akan ditawarkan dalam slot Happy Hour bermula jam 12 tengah hari,” katanya.

Dalam pada itu, Roziyana berkata, pengguna juga boleh mendapatkan buku panduan Jom Belajar Solat Bersama Ummi yang dilengkapi aplikasi tiga dimensi (3D) Augmented Reality (AR) yang akan mempercepatkan lagi cara untuk belajar sembahyang.

“Seperti Buku Cerita Bergambar 3D AR Didi & Friends dan Poster AR 3D Omar Hana, buku 3D AR Jom Belajar Solat Bersama Ummi mempunyai suara bacaan dan visual pergerakan dalam solat bagi lelaki dan perempuan.

“Pengguna boleh muat naik aplikasi Jom Belajar Solat Bersama Ummi secara percuma di Google Play Store dan Apple Apps Store dan cari logo aktifkan di dalam muka surat pada buku tersebut dan belajar bersolat,” katanya.

Menurutnya, terdapat cabutan bertuah setiap hari sepanjang karnival itu dan hadiah lumayan ditawarkan iaitu Jam Tangan berjenama Ice Watch dan akan diadakan Pertandingan Mewarnakan Ummi dan Demo Masakan Bersama Ruzita Idias Ismail.

“Pada Sabtu pula, tiga slot Riang Ria Bersama Maskot Didi & Friends (11.30 pagi-12 tengah hari; 3 petang-3.30 petang dan 5.30 petang-6 petang). Bagi peminat novel ada slot Bedah Novel Bersama Siti Nur Dhuha dan Ayuma Umairah pada jam 1-2 petang.

“Menarik lagi pada jam 2-3 petang ada slot Oh! Mudahnya Jahit Instant Shawl bersama Nurul Nadiah MZ dan slot bersama rakan kerjasama karnival, THR Gegar,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.