KUALA LUMPUR - Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa mempertikaikan tindakan kerajaan membekukan akaun peribadinya dan  juga anaknya berusia 10 bulan selepas beliau selesai membayar jaminan untuk bapanya, semalam.

Hari ini, beliau memuat naik rasa tidak puas hati itu dalam laman Facebook miliknya mendakwa pihak bank menghubunginya dan memaklumkan mereka menerima arahan untuk membekukan akaunnya, semalam.

Menurutnya, akaunnya itu digunakan untuk membayar yuran pengajiannya manakala wang berjumlah RM 500,000 diperolehi untuk jaminan bapanya, semalam, dikumpul daripada rakan-rakan dan saudara-maranya.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Anak Najib selesai bayar jamin ]

“Bank beritahu mereka mendapat arahan untuk membekukan akaun peribadi saya yang saya gunakan untuk membayar yuran pengajian termasuk akaun anak saya berusia 10 bulan yang di dalamnya ada RM 100 (duit raya pertamanya tahun ini)!!!

“Adakah kerajaan sangat berdendam dan mahu hapuskan semua ahli keluarga (keluarga Najib)? Apa kena-mengena duit anak saya dengan 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Inikah Malaysia baru yang rakyat kita harapkan?” katanya.

Semalam, Norashman dan Nooryana Najwa sebagai penjamin selesai membayar jaminan RM500,000 di kaunter Maybank cawangan mahkamah jam 2.45 petang.

Manakala, baki RM500,000 daripada jaminan RM 1 juta dikenakan kepada Najib akan dilunaskan pada Isnin.