SEREMBAN - Kerajaan negeri mengisytiharkan 25 April ini sebagai cuti umum di Negeri Sembilan sempena menggantikan hari kelepasan umum persekutuan yang jatuh sehari sebelumnya bagi seluruh negara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan cuti Israk Mikraj pada 24 April bertindih dengan cuti sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

"Seperti biasa apabila ada cuti bertindih, maka keesokan harinya juga akan diisytiharkan sebagai cuti umum di Negeri Sembilan.  

"Kita tahu, cuti umum ini amat ditunggu-tunggu pihak awam. Tapi ia juga merupakan satu kesukaran terutamanya kepada pihak industri.

"Tapi kita hendak buat macam mana kerana cuti umum ini (diputuskan) mengikut Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369). Kita perlu ikut," katanya.

Justeru, beliau berharap pihak industri dapat menyesuaikan perancangan pengeluaran masing-masing agar tidak mengakibatkan tanggungan yang tinggi. 

"Bekerja pada hari kelepasan umum, biasanya kena bayar gaji tiga kali ganda. Ini merupakan satu bebanan kepada pihak industri.

"Tapi kita perlu menghormati hari kelepasan umum yang ditetapkan kerajaan persekutuan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita semasa sidang media di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Untuk rekod, pewartaan cuti sempena Israk Mikraj pada setiap tahun hanya tertakluk kepada Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan had umur bawah 30 tahun bagi sesiapa yang mahu menganggotai Dewan Undangan Negeri (Dun) Belia mulai penggal akan datang.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.