KUANTAN - Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terenggau 2012 (TIIAF 2012) yang bakal berlangsung dari 14 hingga 17 September ini di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu bakal menarik penyertaan 17 buah negara.

Pengurus Besar Perbadanan Taman Tamadun Islam Terengganu, M. Khairy A. Kahar berkata festival itu kali ini berbentuk pertandingan penulisan seni khat, pameran dan bengkel seni khat.

"Antara penulis khat terkemuka yang diundang ialah Adnan Sheikh Othman dari Syria, MS Nuria Garcia Masip dari Sepanyol, Sherin Abdelsaber Abdelhalim dari Mesir serta Abdul Baki Abu Bakar dan Halias Abu Bakar dari Malaysia," katanya  di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita ketika berkunjung ke Pejabat Tourism Malaysia Pahang bagi tujuan mempromosi program berkenaan.

Kumpulan promosi berkenaan telah menjelajah ke seluruh negara bermula 11 Julai lepas dan Pahang menjadi destinasi terakhir mereka.
    
"Festival itu akan disertai peserta dari 17 buah negara meliputi negara Asia Tenggara dan Asia antaranya Jepun, China, India dan Pakistan.

"Turut terlibat dalam festival ini ialah pakar-pakar seni khat dan pemuzik dari Mesir, Turki, Syria, Iran, Afrika Selatan dan Sepanyol," kata Khairy.

Beliau berkata penganjuran festival itu dijangka menarik kehadiran lebih 15,000 pengunjung sehari.

"Ekspo produk barangan Islam dan acara-acara rakyat untuk penduduk tempatan akan turut diadakan," katanya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Anih Berhad, pemegang Konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) kini dalam peringkat akhir persediaan untuk melaksanakan sepenuhnya Sistem Kutipan Tol Elektronik (ETC) di lebuh raya berkenaan bermula 14 Ogos ini.
  • KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mencari mekanisme sesuai untuk menyelaraskan harga ikan dalam pasaran pada harga berpatutan.