ALOR SETAR - Ketua Bahagian Perundangan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Nor 'Azura Mohamed Zohdi dilantik  Penasihat Undang-undang Negeri yang baharu menggantikan Datuk Azmi Ariffin.

Kekosongan jawatan Pegawai Kewangan Negeri pula diisi Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Bakar Din menggantikan Datuk Khazali Din.

Penyerahan watikah pelantikan kedua-duanya disempurnakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Nor 'Azura, 45, sebelum ini pernah memegang jawatan penting di beberapa kementerian.

Beliau memulakan kerjaya sebagai peguam persekutuan di Kementerian Tenaga, Telekom  dan Pos, seterusnya diterima sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya sebelum ditukar ke ibu pejabat Jabatan Peguam Negara.

Sepanjang hampir 10 tahun berkhidmat di Jabatan Peguam Negara, Nor 'Azura ditugaskan di tiga unit iaitu unit teknologi dan maklumat, unit penswastaan dan pengurusan kontrak serta Ketua Unit Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa Khas Negara.

Beliau berpengalaman dalam bidang pembangunan tanah, pentafsiran undang-undang tanah, isu berhubung pihak berkuasa tempatan termasuk aspek perancangan penggubalan pelbagai garis panduan, mengendalikan pelbagai projek penswastaan.

Turut mengendalikan projek penswastaan  perkhidmatan kerajaan, pelabuhan, pengkorporatan jabatan bekalan air, pengurusan sisa pepejal, lapangan terbang.

Nor 'Azura juga terlibat dengan penstrukturan semula industri bekalan air seluruh negara sejak 2007, menggubal perjanjian utama, perjanjian kemudahan dan perjanjian pajakan untuk dijadikan model diterima pakai oleh negeri.

Dalam pada itu, Bakar, 58, yang dilahirkan di Kampung Dulang Besar, Yan pula pernah memegang jawatan penolong setiausaha kerajaan (tempatan), penolong setiausaha kerajaan (kewangan), penolong pengarah Upen, setiausaha Majlis Perbandaran Kota Setar, ketua penolong pegawai daerah Pendang.

Seterusnya timbalan yang dipertua Majlis Perbandaran Langkawi, timbalan pengurus besar Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), pengurus besar Yayasan Islam Kedah, pegawai daerah Sik dan Langkawi, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar dan pegawai daerah Kota Setar.