GEORGETOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengesahkan telah menerima permohonan pertukaran nama ‘Damia'.

Jelasnya, pihaknya terpaksa meneliti nama berkenaan setelah dirujuk oleh Jabatan Pendaftaran Negeri  (JPN) Pulau Pinang untuk menjelaskan hal tersebut.

“Seorang yang asal namanya Nur Damia Sufiyya memohon daripada JPN untuk menukar namanya kepada Putri Nur Safiyya.

“JPN seperti kelazimannya merujuk kepada pihak kami kerana ia melibatkan hal orang Islam, melalui semakan kamus berbahasa Arab dan mendapati perkataan ‘Damia’ bermaksud tempat keluar darah iaitu مخرج الدم,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu surat daripada Jabatan Mufti Pulau Pinang yang menjadi viral di laman sosial termasuk Facebook dan juga WhatsApp.

Melalui surat bertarikh 7 November 2016 itu, Wan Salim yang mewakili jabatan mufti memberi penjelasan kepada JPN Pulau Pinang bahawa permohonan pertukaran nama baru berkenaan adalah perlu bagi mengelakkan kekeliruan dan fitnah.

Tulis Wan Salim lagi, ia memandangkan nama sedia ada pada pemohon iaitu Damia, membawa maksud kurang baik iaitu tempat keluarnya darah.

Surat berkenaan kemudiannya tersebar luas di laman sosial sehingga menjadi perbalahan di kalangan netizen.

Malah ada ibu-bapa yang mempunyai nama anak Damia tidak bersetuju dan menganggap maksud sebenar Damia ialah bijaksana.

“Saya pun tidak tahu dari mana mereka ambil makna tersebut kerana beberapa kamus Bahasa Arab yang dirujuk, Damia memberi maksud tempat keluar atau mengalirnya darah.

“Perkataan ini berpangkal daripada perkataan damun (دم) yg bererti darah,” katanya.

Mufti Pulau Pinang itu menegaskan sepatutnya pemberian nama kepada anak perlu dirujuk kepada individu yang lebih arif termasuk alim ulama.

“Jangan beri nama anak yang sedap didengar sahaja. Malah ada yang berikan nama ‘Bahimah’ (binatang), Zani (penzina), Syarrul Bariyyah (sejahat-jahat makhluk) dan sebagainya.

“Bagaimanapun, melalui isu ini, ia ditujukan khas kepada kes pemohon saja. Tapi jika orang ramai hendak menukar nama sendiri atau nama anak-anak yang sebelum ini membawa maksud tidak baik, kami alu-alukan dan terpulanglah kepada masing-masing,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Pejabat baharu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Kudat, Sabah di Bangunan 2812, Jalan Taman Tanjong Kapor, Kudat, akan mula beroperasi Isnin ini, menurut kenyataan JPN di sini hari ini.
  • SEREMBAN - Tidak pernah ke sekolah, pergerakan terbatas, sebarang pekerjaan mahu pun dokumen tidak dapat dimohon.
  • PORT DICKSON - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan kebanyakan rakyat Malaysia yang gagal mendaftar kelahiran anak adalah disebabkan sikap ibu bapa yang sejak awal lagi telah atau tidak mendaftar perkahwinan kedua mereka.
  • JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menjunjung kasih di atas keprihatinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhubung titah keperluan pemantauan premis pendidikan dan premis-premis lain secara berkesan dibuat, di negeri ini.
  • ALOR GAJAH - Nama Plaza Tol Ayer Keroh sewajarnya ditukarkan kepada Plaza Tol Durian Tunggal bertepatan kedudukan lokasi itu dalam Mukim Durian Tunggal dalam Daerah Alor Gajah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.