KUALA TERENGGANU – "Pendapatan kami semakin kurang, keadaan sekarang tidak sama berbanding dahulu kerana sebelum ini pengangkutan awam tidak banyak, namun panas terik dan upah yang kecil bukanlah halangan untuk kami mencari sesuap nasi." 

Demikian luahan Abd Razak Husin, 62, seorang daripada 30 penarik beca yang masih meneruskan pekerjaan itu di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, sejak puluhan tahun lalu.

Malah katanya, selain mengangkut barangan pelanggan yang meletakkan kenderaan jauh dari Pasar Besar Kedai Payang, mereka juga bertindak sebagai ‘posmen’ atau orang tengah untuk menghantar pesanan atau barangan kepada pelanggan.

“Bukan hanya orang tempatan, malah pelancong luar khususnya yang datang ke Pasar Besar Kedai Payang juga sudah tidak lagi berminat untuk menaiki beca. Namun, kami tetap juga mengayuh beca kerana ia sudah menjadi seperti darah daging.

“Sepanjang cuti persekolahan ini, jika golongan peniaga boleh tersenyum lebar, tetapi nasib kami tetap sama dengan pendapatan tidak menentu, dan hanya mengharapkan pelanggan tetap yang membeli barangan basah di pasar ini (Pasar Besar Kedai Payang),” katanya.

Bagi seorang lagi penarik beca, Sidek Jusoh, 80, pada waktu tertentu, penarik beca sukar untuk mendapatkan walau seorang pelanggan, namun mereka tetap sabar dan masih meneruskan pekerjaan itu hingga ke hari ini.

“Inilah punca rezeki kami. Jika tidak mengayuh, tiadalah pendapatan. Kadangkala pelanggan tidak yakin dengan pakcik dan bertanya 'dapatkah pakcik mengayuh beca bawa mereka?', tetapi akhirnya mereka kagum kerana pakcik masih mampu dan sihat dalam usia sebegini.

“Badan pakcik juga sentiasa berpeluh menyebabkan pakcik sentiasa sihat. Kami biasanya tidak mengehadkan bayaran tambang dan terpulang kepada mereka. Biasanya RM2 jika hendak ke Hentian Bas Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT),” katanya.

Bagaimanapun, bapa sembilan anak yang tinggal di Kampung Ladang itu enggan mendedahkan pendapatan sebenar diperolehnya pada setiap hari.

Menurut Ismail Din, 69, pula, dia berbangga kerana masih mengayuh beca, malah menyifatkan pekerjaan tersebut langsung tidak membebankannya kerana dia hanya perlu mengurus waktu sendiri tanpa terikat dengan sesiapa.

“Jika keluar bekerja, tentu ada rezeki. Tetapi jika kesihatan tidak mengizinkan, saya hantar mereka yang ingin pergi dekat-dekat sini sahaja atau berehat dalam beca sambil melihat orang sekeliling,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Rohaida Yasim, 42, berkata, dia merupakan antara pelanggan tetap kerana kerap menggunakan perkhidmatan beca di situ terutama milik Abd Razak.

“Jika Pak Razak ada, kadangkala saya akan minta dia hantar ke tempat letak kereta. Tapi jika kesuntukan masa, saya hanya sampaikan pesanan untuk mengambil dan menghantar barang kepada pelanggan atau sebaliknya,” katanya.