SETIU - Tanah Bencah Setiu atau lebih dikenali sebagai Setiu Wetland akan dijadikan sebagai Taman Negeri pertama di Terengganu pada tahun ini.

Pengarah Perhutanan Terengganu, Azmi Nordin berkata, pihaknya bersama Kerajaan Negeri Terengganu serta pelbagai jabatan termasuk World Wide Fund for Nature (WWF-Malaysia) kini sedang giat menjalankan pelbagai program kesedaran bagi menjadikan rancangan itu satu realiti.

"Sekarang ini, kita juga bersama Universiti Malaysia Terengganu serta Yayasan Diraja Sultan Mizan sejak dua tahun lalu sedang mempergiatkan program kesedaran bagi memberi pendidikan kepada masyarakat setempat bagi memelihara dan memulihara kawasan tanah bencah ini yang kaya dengan pelbagai ekologi," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media sempena Program Larian Tanah Bencah Setiu dan Kempen Kesedaran Penanaman Pokok 2015 di Tanah Bencah Setiu di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Kanan Program Air Tawar WWF-Malaysia Daria Matthew.
   
Azmi berkata, pihaknya bersama WWF kini turut menjalankan penanaman pokok rhu sebagai penahan ombak untuk mengelakkan kawasan berkenaan terhakis.

Sementara itu, Matthew berkata, Tanah Bencah Setiu bukan sahaja merupakan tanah bencah semulajadi yang terluas di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Ia turut memiliki kepelbagaian ekosistem merangkumi air tawar, air payau, laut serta laguna yang mengunjur lebih kurang 14 kilometer dengan pasir pantai.

"Populasi tuntung laut yang sangat terancam serta tuntung sungai juga ada terdapat di sini.

"Berdasarkan kajian, sebanyak 29 spesies mamalia, 112 spesies burung serta 28 spesies reptilia terdapat di tanah bencah ini.

"Hutan gelam yang sukar didapati di seluruh negara juga terdapat di sini," katanya. - Bernama