KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah trauma selepas bayinya nyaris diculik seorang perempuan, disyaki sakit mental, di Stesen Sentral, di sini, semalam.

Nurul Suhada Abd Rahman , 24, berkongsi pengalaman mendebarkan itu menerusi Facebook miliknya menceritakan bagaimana seorang wanita mengekorinya yang sedang mendukung anaknya Aryan Shah Fayyad Mohd Hasrulnizam, 10 bulan, sambil berjalan bersama beberapa saudara lain.

Nurul Suhada berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang apabila dia tidak menyedari kehadiran wanita itu sehinggalah wanita itu menahan dan menjerit menyuruhnya berhenti sambil bertanya hubungannya dengan bayi yang sedang dikendong.

"Saya cakap anak saya. Tapi dia buat muka tidak puas hati dan geram. Kami lari daripadanya dan dia kejar suruh berhenti. Kami berlari ke arah polis bantuan dan wanita itu datang mengaku Fayyad anaknya yang hilang sambil mahu mengambil Fayyad.

"Polis bantuan itu minta saya tunjukkan MyKid Fayyad. Saya tunjuk dan polis bantuan itu tahu saya betul dan minta kami segera beredar sementara mereka menghalang wanita tadi yang terus mengatakan Fayyad adalah anaknya juga menunjukan protes dengan mencampakkan begnya ke arah polis bantuan tersebut," katanya.

Penceritaan Nurul Suhada yang bimbang anaknya nyaris menjadi mangsa culik itu mendapat perhatian netizen dengan perkongsian sebanyak 43,000 dalam tempoh 16 jam dimuat naik.

Nurul Suhada yang tinggal di Tanjung Malim, Perak pergi ke Stesen Sentral Kuala Lumpur untuk menghantar saudara yang lain.

Ketika dihubungi Sinar Harian, katanya, sejak memuat naik status berkenaan, dia menerima pelbagai reaksi netizen termasuk beberapa individu yang memberi maklumat menerusi pesanan mesej peribadi menyatakan status wanita berkenaan yang dipercayai mempunyai masalah mental.

"Saya bimbang jika ini melibatkan taktik sindiket atau sebagainya untuk cubaan menculik kanak-kanak.

"Saya dimaklumkan wanita berkenaan telah ditahan. Apa pun saya masih trauma dan kejadian ini wajar menjadi pengajaran kepada sesiapa sahaja agar kedekut anak dari orang lain." katanya.