KENINGAU - Sekumpulan penyelidik Jawatankuasa Pelancongan Daerah Keningau dan Tahun Melawat Keningau 2018 menemukan bunga Rafflesia sedang mekar di kawasan hutan Batu Minitinduk, berhampiran Gua Laing Bingkor Keningau, di sini hari ini.

Ketua penyelidik jawatankuasa itu Rafie Robert berkata Rafflesia itu daripada spesies ‘Keithi’, mempunyai ukuran garis pusat kira-kira satu meter.

Minitinduk terletak kira-kira 45 minit perjalanan darat dari Sub Station Minitinduk Trails.

Dalam kenyataan kepada Bernama, Rafie berkata, Rafflesia Keithi merupakan satu daripada tiga spesies yang terdapat di Sabah.

Ia tumbuh di kawasan tanah rendah beriklim lembab dan mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk mekar, dan kemudian layu dalam tempoh empat hingga lima hari.

Bunga ini dinamakan sempena nama bekas konservator hutan di Borneo Utara (kini Sabah), Henry (Harry) George Keith.

Rafie menasihatkan orang ramai agar tidak memusnahkan bunga ini jika  menemukannya kerana ia menjadi sebahagian daripada tarikan sempena Tahun Melawat Keningau 2018. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GUA MUSANG - Seramai 65 ahli Kelab Kebajikan, Sukan dan Sosial (Kesuma) Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) mengadakan Program Ekspedisi Menjejak Bunga Rafflesia di Pos Jedip, Lojing dekat sini, Rabu lalu.
  • BATU KURAU - Penemuan bunga Rafflesia atau bunga pakma di daerah Batu Kurau, oleh seorang pekebun menggemparkan penduduk setempat, sekali gus bakal menjadikan kawasan Batu Kurau sebagai salah satu lokasi yang menarik di sini.