TELUK INTAN - Seorang wakil rakyat masih boleh memberi sumbangan kepada rakyat yang memilih mereka walaupun menjadi Adun Bebas tanpa bernaung di bawah mana-mana parti.

Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, perkara yang  penting selepas dipilih menjadi wakil rakyat dalam PRU, wakil rakyat perlu memikirkan bagaimana dapat memberi sumbangan kepada rakyat.

“Bagi saya tindakan saya menyokong Harapan (Pakatan Harapan) di Perak membentuk kerajaan negeri selepas tiada mana-mana parti menang mudah dalam PRU14 lalu adalah demi rakyat walaupun tahu kesannya sebab saya Adun BN sebelum ini.

“Saya mengambil tanggungjawab ini agar rakyat dapat pembelaan dan perhatian kerana senario landskap politik seluruh negara pada hari ini berubah selepas rakyat tidak lagi memilih BN,” katanya ketika wawancara khas bertajuk Dari BN ke Pakatan Harapan bersama Sinar Harian di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata, menjadi Adun Bebas di negeri ini bukanlah bererti dia tidak mendapat sebarang manfaat daripada kerajaan negeri yang memerintah kerana tanggungjawab membantu wakil rakyat dalam menguruskan rakyat juga digalas kerajaan negeri itu sendiri.

“Kerana itu bila difikirkan saya rasa keputusan yang saya lakukan adalah berdasarkan apa yang mampu saya berikan kepada rakyat dengan mendekati peranan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat itu sendiri.

“Itulah yang terbaik saya lakukan kerana penghijrahan, pengorbanan saya adalah bertepatan dengan masa dan ketika perubahan landskap politik hari ini daripada membiarkan Perak tergantung tanpa ada pentadbir selepas tiada mana-mana parti berjaya menang majoriti mudah 30 kerusi,” katanya.

Ditanya mengenai perasaan beliau apabila tidak dipilih sebagai Exco negeri walaupun sebelum ini desas-desus dimaklumkan akan disediakan satu slot berkenaan kepada seorang Adun BN yang menyokong Harapan, Zainol Fadzi berkata, perkara itu tidak memberi kesan kepadanya.

“Dari awal membuat keputusan sebarang permintaan mahupun tawaran yang diberikan oleh Harapan selepas saya menyatakan sokongan untuk mereka membentuk kerajaan di Perak.

“Sudah pasti andaian pelbagai pihak apabila saya menyokong Harapan akan ada jawatan Exco diberikan kepada saya, sedangkan itu semua tidak benar sama sekali kerana apa yang penting kerajaan negeri ditubuhkan dan pentadbiran dijalankan dengan segera.

“Saya masih lagi seorang wakil rakyat dan bekerja seperti biasa walaupun tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri kerana yang penting saya menjaga kepentingan rakyat di Dun Sungai Manik,” katanya.

Wawancara khas selama 20 minit berkenaan turut mengupas mengenai bagaimana perasaan Zainol Fadzi ketika membuat keputusan menyokong Harapan.

Zainol Fadzi yang memasuki penggal ketiga dipilih sebagai Adun Sungai Manik turut mengakui berbagai fitnah dan tohmahan dilemparkan bukan sahaja kepada dirinya malah juga keluarganya selepas menyatakan sokongan kepada Harapan di Perak.