IPOH - Empat wakil rakyat DAP Perak, hari ini mengumumkan sumbangan kepada kerajaan bagi membantu membayar hutang negara yang mencecah RM1 trilion.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, beliau sendiri akan memberikan RM16,000 gajinya sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan untuk bulan ini bagi tujuan tersebut.

Katanya, tindakan itu diambil sebagai tanda solidariti dan semangat patriotik untuk membantu kerajaan membayar hutang negara.

"Tindakan ini sebenarnya didorong oleh sikap dan semangat beberapa rakyat Malaysia yang menyuarakan hasrat untuk membantu negara membayar hutang. Ini merupakan kisah yang amat mengharukan.

"Kenapa saya buat demikian, kerana saya yakin kerajaan baru ini berintegriti. Saya yakin jumlah gaji yang didermakan akan digunakan untuk tujuan yang sepatutnya. bukan untuk beli cincin, beg perkins dan lain-lain," katanya dalam sidang media di Wisma DAP Perak, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, beberapa pimpinan DAP Negeri dan wakil-wakil rakyat parti itu.

Kor Ming berkata, DAP Perak mengalu-alukan tindakan berani Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendedahkan kebenaran tentang hutang sebenar negara supaya rakyat tidak tertipu.

Katanya, semua orang mengetahui kerajaan Harapan terpaksa menanggung beban besar akibat peninggalan hutang yang warisi daripada kerajaan BN terdahulu.

"Jika dihitung, ini bermakna setiap orang rakyat Malaysia termasuk yang baru lahir terpaksa membayar RM32,000 akibat daripada ketirisan dan penyelewengan pengurusan yang berlaku oleh kerajaan lama.

"Tetapi, kami berasa amat terharu dengan semangat anak Malaysia yang benar-benar cintakan negara untuk turut sama membantu. Kita perlu kembalikan era Dasar Bersih, Cekap dan Amanah yang pernah diperkenalkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad satu ketika dahulu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Negeri, V Sivakumar berkata, beliau bersama-sama Setiausa DAP Perak, Wong Kah Woh akan turut mendermakan sebahagian gaji sebagai Ahli Parlimen berjumlah RM8,000 setiap seorang kepada kerajaan untuk tujuan tersebut.

Katanya, apa yang dilakukan Kor Ming merupakan satu tindakan murni untuk membantu negara.

"Tindakan YB Nga (Kor Ming) perlu dijadikan contoh bagi seorang rakyat yang bertanggungjawab kepada negaranya. Ini merupakan satu contoh kepimpinan melalui teladan.

"Untuk itu, saya dan YB Kah Woh turut bersetuju mendermakan separuh daripada gaji sebagai Ahli Parlimen untuk tujuan sama," katanya.

Dalam pada itu, Adun Kepayang, Dr Ko Chung Sen dalam sidang media sama turut mengumumkan menderma RM10,000 kepada kerajaan.