IPOH - Lafarge Malaysia menemui beberapa spesies flora dan fauna di Gunung Kanthan hasil daripada kajian awal Inventori Biodiversiti dan kajian tinjauan geologi gua 2013.

Kajian bebas itu ditauliah oleh Lafarge bertujuan untuk menilai kepekaan biodiversiti di Gunung Kanthan iaitu kawasan pengkuarian syarikat itu.

Naib Presiden Kanan Bahagian Operasi Perindustriannya, Jim Ruxton berkata, kajian berkenaan diketuai Ketua Institut Sains Biologi, Universiti Malaya, Profesor Dr Rosli Hashim bersama 13 penyelidik yang menghabiskan lebih 500 jam di lapangan bagi tujuan itu.

Menurutnya, sebanyak 384 spesies dikaji yang merangkumi kawasan sampel seluas 150 hektar yang mana mengguna pakai teknik kajian selari dengan piawaian antarabangsa.

“Lafarge komited terhadap hasil kajian bebas ini dan bersedia menyokong serta melaksanakan cadangan-cadangan berhubung pemeliharaan spesies di Gunung Kanthan.

“Kami juga akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk melindungi dan merangsang biodiversiti seterusnya rancangan pembangunan kuari syarikat juga mengambil kira aspek alam persekitaran yang sensitif,” katanya ketika sesi penerangan kepada media semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengesyorkan supaya kawasan D di Gunung Kanthan diperuntukkan sebagai tapak khas bagi kepentingan saintifik termasuk mendirikan Pusat Penyelidikan Biodiversiti untuk memahami ekosistem Gunung Kanthan dengan lebih baik.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.