TAPAH - Cuti sebanyak 71 peratus atau seramai 9,100 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat di seluruh negara dibekukan sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, hanya 29 peratus daripada jumlah keseluruhan anggotanya dibenarkan bercuti.

Katanya, anggota bomba akan bekerja seperti biasa dan bersiap siaga sekiranya berlaku apa-apa kecemasan atau bencana semasa musim perayaan.

“Sepanjang musim perayaan, anggota dari 277 balai bomba di seluruh negara akan melakukan rondaan untuk meninjau beberapa lokasi panas di lebuh raya yang berisiko tinggi berlaku kebakaran dan kemalangan jalan raya.

“Antara lebuh raya yang diberi tumpuan ialah Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci rumah projek pembinaan semula rumah di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS7), di Kampung Batu 3, Jalan Pahang, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, Yahaya Madis.

Wan Mohd Nor berkata, bomba juga akan melakukan rondaan di sekitar premis yang menjadi tumpuan masyarakat.

Menurutnya, kejadian kebakaran yang berlaku pada musim perayaan disebabkan pertambahan aktiviti manusia pada ketika itu berbanding hari-hari biasa.

Katanya, penambahan bilangan stok untuk jualan menyebabkan pemilik premis meletakkan barangan mereka berdekatan dengan pintu kecemasan.

Beliau berkata, ia menyukarkan mangsa untuk menyelamatkan diri jika berlaku kebakaran di satu-satu premis perniagaan.

“Walaupun setakat ini tiada sebarang kejadian seperti itu berlaku, namun pihak kami mengambil langkah-langkah berjaga-jaga khususnya pada musim perayaan  yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAIPING - Pihak bomba sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi pelbagai kemungkinan kejadian kemalangan mahupun kebakaran sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini.
  • SERI MANJUNG - Penubuhan pasukan bomba sukarela (PBS) diharapkan dapat mencapai sasaran masa tindak balas (respon time) sebelum sepuluh minit anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia tiba di lokasi kejadian kecemasan.
  • KUALA TERENGGANU - Walaupun jumlah panggilan kecemasan menunjukkan penurunan, nilai kerugian akibat kebakaran di seluruh negara meningkat kepada RM5 bilion pada tahun lalu berbanding RM4.5 bilion yang direkodkan pada 2016.
  • KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia jalankan pemeriksaan di semua lokasi yang akan digunakan ketika PRU14 termasuk pusat mengundi dan pengiraan undi.
  • kuala nerus - Sembilan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kubur, Batu Rakit, pagi tadi.