PEKAN - Perjalanan dua lelaki menguruskan kerja harian mereka berakhir selepas terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Pekan-Nenasi berhampiran Kampung Tanjung Batu, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Mohd Nazir Mohd Yusoff, 36, dari Batu 9, Kampung Sungai Miang maut di tempat kejadian selepas lori lima tan jenis Isuzu yang dipandu sendirian dari arah Pekan ke Rompin bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang turut membawa muatan minuman keras.

Pemandu Hilux terbabas

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas pacuan empat roda yang dipandu Yeo Kee Wah, 29, dari arah Nenasi terbabas, lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dipandu Mohd Nazir.

“Rempuhan kuat dari arah depan kedua-dua kenderaan berlaku ekoran pacuan empat roda terbabas secara tiba-tiba dalam jarak dekat menyebabkan pemandu lori berkenaan tidak dapat mengelak dan terbalik ke sebelah kanan jalan.

“Kemalangan teruk itu turut menyebabkan Yeo yang beralamat di Jalan Besar, Kuantan maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Yahaya berkata, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di seluruh bahagian depan dan sebelah kanan.

Kes  disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suami berubah jadi pendiam

Perubahan sikap yang ditunjukkan arwah Mohd Nazir sejak beberapa hari lalu akhirnya menjawab persoalan yang bermain di benak isterinya selepas menerima berita pilu mengenai kemalangan yang menimpa suami tercinta.

Zalilah Mat Nawi, 31, berkata, sikap suami yang berubah menjadi pendiam dapat dirasai, namun tidak menyangka bahawa ia adalah petanda akan kehilangan bapa kepada tiga anak mereka.

“Pagi tadi (semalam) sebelum keluar rumah, suami tidak kejutkan anak bongsu kami, Radiani Aqilah, berusia dua tahun setengah bangun tidur dan memandikannya seperti biasa.

“Suami juga tidak menghantar saya ke mesyuarat Amanah Raya di SK Sinar Mutiara, Sungai Miang dan meminta agar memandu sendiri supaya senang untuk pulang selepas habis urusan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan bilik mayat, Hospital Pekan.

Menurutnya, arwah suaminya turut sempat berpesan supaya memandu berhati-hati serta menjaga anak-anak dengan baik sebelum terus keluar rumah kira-kira jam 8 pagi untuk ke ladang di Nenasi.

Sinar Harian turut dimaklumkan bahawa arwah Mohd Nazir bekerja membantu perniagaan kedai makan milik ibu mertuanya di Tanjung Batu dengan menjual sate dan membawa lori mengikut keperluan kerja sejak dua bulan lalu bagi membantu perniagaan bapanya.

Lauk dihidang tak luak

“Malam sebelum kejadian kami sekeluarga ada berbual mengenai persiapan baju untuk majlis perkahwinan adiknya awal Februari depan, namun suami lebih banyak mendiamkan diri serta tidak riuh mencelah dan berseloroh seperti biasa.

“Saya juga sempat menyediakan ikan cencaru masak kari yang menjadi kegemarannya malam semalam (kelmarin), namun saya lihat lauk berkenaan tidak luak selepas bangun pagi tadi (semalam),” katanya.
Zalilah berkata, pemergian suaminya pagi semalam turut menjadi detik pilu yang sentiasa diingati di mana turut berkongsi tarikh hari lahir anak sulung mereka, Mohd Rizairil Adha, 9.

“Suami tidak sempat mengucapkan selamat hari lahir kepada anak kami dan perasaan lebih sebak apabila anak kedua, Raziatul Adawiyah, 6, dan anak bongsu bertanyakan mengenai bapa mereka,” katanya.

Jenazah mangsa dibawa pulang ke Batu 9, Kampung Sungai Miang untuk dikebumikan selepas bedah siasat dan urusan mandi, mengapan serta disembahyangkan siap sepenuhnya kira-kira jam 1.15 petang semalam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TASEK GELUGOR - Seorang guru sekolah memandu maut selepas keretanya terbabas dalam satu kemalangan di Jalan Pokok Machang, di sini malam kelmarin.
  • BELURAN - Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 14 Jalan Telupid-Beluran hari ini.
  • JOHOR BAHRU - Pengalaman pertama kali memotong kain kafan turut menjadi yang terakhir buat seorang pelajar tingkatan tiga yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Jalan Pantai menghala Pasir Gudang, di sini, awal pagi semalam.
  • IPOH - Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Saga dipandunya dirempuh kenderaan lain di Jalan Kuala Kangsar, di sini, hari ini.
  • SIK - Penduduk kampung tidak lagi dapat mendengar bacaan ayat suci al-Quran oleh Imam Masjid Kampung Telaga Batu apabila beliau maut dalam kemalangan di selekoh Duyong, Kampung Telaga Batu, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.