Empat maut dihempap pokok: Penilaian risiko perlu dipertingkatkan- Young Syefura

Young Syefura berkata, insiden pokok tumbang di laluan berkenaan memberi peringatan mengenai kepentingan pengurusan risiko alam sekitar yang teratur.
Young Syefura berkata, insiden pokok tumbang di laluan berkenaan memberi peringatan mengenai kepentingan pengurusan risiko alam sekitar yang teratur.
A
A
A

BENTONG – Penilaian risiko pokok matang di laluan FT68 (Jalan Lama Bentong–Kuala Lumpur) berhampiran Genting Sempah–Bukit Tinggi perlu dipertingkatkan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, insiden pokok tumbang di laluan berkenaan memberi peringatan mengenai kepentingan pengurusan risiko alam sekitar yang teratur.

Menurutnya, laluan FT68 merupakan nadi perhubungan bagi Daerah Bentong kerana ia bukan sahaja menyambungkan kawasan pelancongan utama seperti Kampung Janda Baik dan Bukit Tinggi, malah bertindak sebagai laluan alternatif kritikal setiap kali berlaku kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KL-Karak).

"Faktor geografi laluan itu yang dikelilingi kawasan berbukit dan pokok-pokok matang menyebabkan isu kestabilan cerun dan risiko pokok tumbang sentiasa menjadi keutamaan yang dibincangkan bersama dari semasa ke semasa, termasuk dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Bentong.

"Kita juga wajar mengambil pengajaran daripada insiden tanah runtuh dan pokok tumbang di tapak perkhemahan sebelum ini sebagai peringatan penting tentang kepentingan pengurusan risiko alam sekitar yang teratur," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemergian Mohd Radzi kehilangan besar kepada keluarga UMNO - Ahmad Zahid

Empat maut dihempap pokok: Mohd Radzi aktif dalam politik sejak usia muda - Bapa

Empat maut dihempap pokok: 'Pemergian Mohd Radzi kehilangan besar buat UMNO Pahang'

Empat maut, seorang kanak-kanak cedera kenderaan dinaiki dihempap pokok

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi, 40, antara empat mangsa yang maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Bentong, Bentong.

Turut maut, isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, seorang daripada anak kembar mereka yang berusia lima tahun, Muhammad Rizz Hazim dan adik ipar, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.

Seorang lagi anak kembar Mohd Radzi dilaporkan parah dan kini dirawat di Hospital Bentong.

Jenazah Allahyarham Mohd bersama tiga ahli keluarganya yang maut selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Sri Chedung, Maran pada jam 3.15 pagi.

Sebelum itu, semua jenazah dituntut waris antara jam 10 malam hingga 11.45 malam selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAH), Temerloh.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Kampung Paya Luas, Temerloh untuk dimandikan dan dikafankan, sebelum disolatkan di Masjid Asy-Syakirin.

Dalam pada itu, Young Syefura menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.

"Saya mendoakan agar seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian yang berat itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!