'Suami pergi ketika suapan terakhir makan malam' - Isteri

Nor Azliawani menunjukkan gambar kenangan arwah suaminya. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
Nor Azliawani menunjukkan gambar kenangan arwah suaminya. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
A
A
A

MELAKA – Dalam sekelip mata, seorang suri rumah kehilangan insan tersayang yang menjadi tonggak keluarga apabila suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung.

Pemergian mengejut itu bukan sahaja meragut tempatnya bergantung, malah meninggalkan tanggungjawab besar untuk membesarkan dua anak yang masih memerlukan kasih sayang dan perhatian, termasuk seorang anak bongsu yang baru berusia dua tahun.

Noor Azliawani Abdul Razak, 38, berkata, suaminya, Nor Hisyamuddin Abdul Rahman, 45, menghembuskan nafas terakhir secara tiba-tiba ketika sedang menikmati makan malam di rumah sewa mereka di Taman Merdeka pada kira-kira jam 11 malam, 22 Julai lalu.

Menurutnya, arwah yang bekerja sebagai penarik kereta baru sahaja pulang dari Johor atas urusan kerja dan kelihatan sihat serta ceria seperti biasa.

Malah katanya, mereka sempat berbual-bual ketika makan sebelum arwah tiba-tiba memegang dada dan rebah sejurus selepas suapan terakhirnya.

Gambar kenangan Nor Azliawani bersama arwah suaminya.
Gambar kenangan Nor Azliawani bersama arwah suaminya.

“Sebelum itu dia kelihatan ceria dan berbual seperti biasa. Selepas suapan terakhir, dia meletakkan tangan di dada dan terus rebah.

“Saya panik kerana menyangka dia diserang sawan atau strok. Saya meminta anak menghubungi ambulans, namun apabila petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiba, mereka mengesahkan suami saya telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kediamannya pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Noor Azliawani berkata, sebelum kejadian arwah pernah mengadu sakit dada dan sakit kepala.

Namun, setiap kali dipujuk untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan, arwah sering menangguhkannya kerana bimbang tidak dapat bekerja sekiranya dimasukkan ke wad.

Selepas bedah siasat dijalankan, doktor memaklumkan bahawa arwah sebenarnya telah lama menghidap beberapa masalah kesihatan termasuk kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Ibu kepada Puteri Aleesya Irdina, 15, dan Nor Syahputra Nor Hisyamuddin, 2, itu berkata, suaminya merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

Nor Azliawani tidak dapat menahan sebak ketika bercerita mengenai arwah suaminya. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
Nor Azliawani tidak dapat menahan sebak ketika bercerita mengenai arwah suaminya. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR

Pekerjaannya menyebabkan arwah kerap berulang-alik ke Johor, Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain mengikut keperluan.

Sejak mendirikan rumah tangga, Noor Azliawani tidak lagi bekerja bagi memberi sepenuh perhatian kepada keluarga dan menjaga anak-anak.

“Selepas bertunang, arwah meminta saya berhenti kerja kerana dia mahu memikul tanggungjawab menyara keluarga. Kali terakhir saya bekerja ialah lima tahun lalu sebagai pelayan kafe.

“Semua perbelanjaan rumah ditanggung sepenuhnya olehnya. Apabila dia pergi, saya benar-benar kehilangan tempat bergantung,” katanya sebak.

Dalam menghadapi ujian itu, Noor Azliawani bersyukur apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah bersama beberapa agensi berkaitan tampil menziarahinya serta membantu menguruskan permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Kini, beliau dan anak-anak menetap di sebuah rumah sewa dengan kadar sewa RM700 sebulan.

Demi mengurangkan beban kewangan, dia berharap dapat berpindah ke kediaman yang lebih murah.

Walaupun berasal dari Terengganu dan pernah dipelawa keluarganya untuk pulang ke kampung halaman, Noor Azliawani memilih untuk terus menetap di Melaka demi persekolahan anak-anak serta kerana sukar untuk berjauhan daripada pusara arwah suaminya.

“Kalau boleh, saya mahu terus bertahan di sini. Walaupun kehidupan tidak mudah, inilah tempat anak-anak membesar dan di sinilah arwah disemadikan,” katanya.

Gambar kenangan Nor Azliawani bersama arwah suaminya.
Gambar kenangan Nor Azliawani bersama arwah suaminya.

Bagi meneruskan kehidupan, Noor Azliawani bercadang mengusahakan perniagaan makanan dari rumah memandangkan dia masih perlu menjaga anak bongsunya.

Menurutnya, dia mempunyai pengalaman mengambil tempahan makanan sebelum ini dan yakin kemahiran memasaknya boleh menjadi sumber pendapatan untuk keluarga.

“Saya memang biasa memasak nasi berlauk. Adik ipar yang berniaga makanan juga sudi membantu mengambil dan menghantar tempahan kerana saya tidak mempunyai kenderaan sendiri.

“Saya reda dengan apa yang berlaku. Walau seberat mana pun dugaan ini, saya perlu kuat demi masa depan anak-anak,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun BSN 1110041100022042 atas nama Noor Azliawani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!