Transformasi sejak 2022 berjaya kurangkan imej negatif Flat Teluk Indah

BUTTERWORTH – Pelaksanaan Pelan Transformasi Flat Teluk Indah yang bermula sejak 2022 berjaya mengurangkan pelbagai isu yang membelenggu kawasan perumahan berkenaan termasuk masalah kebersihan, jenayah, gejala sosial dan pengurusan warga asing.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Task Force Transformasi Flat Teluk Indah yang menghimpunkan pelbagai agensi bagi merangka penyelesaian secara menyeluruh terhadap isu-isu yang dihadapi penduduk.
Menurutnya, walaupun masih terdapat cabaran terutama melibatkan perubahan sikap penghuni, pelbagai masalah berjaya dikurangkan hasil kerjasama semua pihak sejak jawatankuasa itu ditubuhkan.
“Task Force ini diwujudkan pada 2022 bagi menangani isu kebersihan, warga asing, gejala sosial dan jenayah di Flat Teluk Indah. Kita mengadakan mesyuarat dua kali setahun bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap setiap isu yang timbul.
“Memang belum dapat diselesaikan sepenuhnya kerana ia melibatkan perubahan tingkah laku manusia, namun banyak penambahbaikan berjaya dicapai sepanjang tempoh pelaksanaannya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Perda baru-baru ini.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan perubahan pengurusan sejak kira-kira tiga tahun lalu berjaya mengubah wajah Blok E1 dan E2 Flat Teluk Indah, Perai di sini apabila keadaan kebersihan, penyelenggaraan serta pengurusan parkir dilihat jauh lebih baik berbanding sebelum ini.
Namun usaha berkenaan masih belum mampu menghapuskan sepenuhnya imej kotor yang sekian lama membelenggu kedua-dua blok tersebut apabila sikap segelintir penghuni yang tidak bertanggungjawab terus menjadi punca utama masalah.
Lebih membimbangkan, perbuatan tersebut bukan sahaja mencemarkan persekitaran malah mengundang risiko keselamatan kepada penghuni yang melalui kawasan di bawah blok.
Mengulas lanjut, Baderul berkata, jawatankuasa berkenaan dianggotai Ahli Majlis MBSP, beberapa jabatan berkaitan dalam MBSP, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) serta Unit for Research on Women and Gender (Kanita), Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau berkata, penglibatan Kanita USM banyak membantu menyediakan kajian, khidmat nasihat dan cadangan tindakan yang lebih bersesuaian berdasarkan latar belakang sosial komuniti setempat.
Mengulas aspek keselamatan, Baderul berkata, MBSP tidak menerima aduan mengenai peningkatan kadar jenayah di flat berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan maklumat yang dikongsi PDRM dalam mesyuarat task force, statistik jenayah di kawasan itu menunjukkan trend penurunan hasil rondaan dan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan.
“Antara kes yang pernah berlaku ialah kecurian motosikal dan kereta namun selepas rondaan dipertingkatkan oleh polis, jumlah kes berjaya dikurangkan.
“MBSP sentiasa bersedia bekerjasama dengan PDRM dalam usaha meningkatkan keselamatan selain menggalakkan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB), Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) memainkan peranan lebih aktif,” katanya.
Dalam aspek kebersihan pula, beliau berkata, pelbagai program kesedaran telah dilaksanakan di bawah pelan transformasi termasuk kempen pengurusan sisa, Program Jom Bersih Taman Teluk Indah serta gotong-royong komuniti.
Katanya, JMB turut digalakkan meneruskan inisiatif seperti kempen 'Sampah Ke Dalam Tong', aktiviti plogging dan gotong-royong berkala bagi memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan penduduk terhadap kawasan kediaman mereka.
Beliau berkata, isu kebersihan tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata sebaliknya memerlukan komitmen JMB dan penduduk.
“Kesedaran sivik merupakan kunci utama. MBSP hanya bertindak sebagai pemudah cara dengan memberi khidmat nasihat, bimbingan serta sokongan kepada JMB.
“Kalau JMB tidak aktif, sukar untuk memastikan pengurusan kawasan strata berjalan dengan baik kerana mereka merupakan pihak yang paling hampir dengan komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, Baderul berkata, antara kejayaan hasil pelaksanaan pelan transformasi ialah penggantian dua unit lif baharu di Blok E1 dan E2 melalui peruntukan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Projek bernilai keseluruhan RM1.2 juta itu melibatkan penggantian satu unit lif di setiap blok dengan kos kira-kira RM600,000 bagi setiap unit dan siap pada 3 Julai 2025.
"Selain penggantian lif baharu, dua lagi lif di setiap blok telah dibaik pulih menerusi bantuan yang disalurkan sebelum ini bagi meningkatkan keselesaan penduduk," katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, isu kebersihan di kawasan flat itu tidak akan dapat diselesaikan sekiranya sikap tidak bertanggungjawab dalam kalangan penduduk tidak berubah.
Menurutnya, sebagai usaha membantu mengatasi masalah berkenaan, beliau mengeluarkan wang sendiri bagi membeli sebuah lagi tong sampah jenis Roll-On Roll-Off (RoRo) bernilai lebih RM10,000 selepas melihat sampah bertaburan di tepi tong RoRo sedia ada, khususnya di Blok E1 dan E2.
“Saya ada menganjurkan beberapa siri program gotong-royong di Flat Teluk Indah. Terbaharu, selepas melihat sampah bertaburan di tepi tong RoRo sedia ada, saya mengambil inisiatif menggunakan wang sendiri untuk membeli sebuah lagi tong RoRo yang bernilai lebih RM10,000.
“Saya berharap tong sampah itu digunakan sebaik mungkin oleh penduduk, khususnya di Blok E1 dan E2. Buanglah sampah ke dalam tong yang disediakan, bukannya di atas jalan atau di tepi tong sampah,” katanya.
Sundarajoo berkata, kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan segelintir penduduk menyebabkan kawasan flat itu masih kotor walaupun JMB telah menjalankan tanggungjawab dengan mengupah pekerja bagi membersihkan persekitaran.
“Sikap manusia perlu diubah. Jika tidak, isu kebersihan di flat ini tidak akan selesai walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.
“Apa yang saya mampu bantu ialah menyediakan sebuah lagi tong RoRo dan dari semasa ke semasa mengadakan program gotong-royong membersihkan kawasan flat. Namun, usaha ini perlu disokong oleh penduduk dengan mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

