'Saya nak jumpa keluarga kandung sebelum tutup mata' - Luah nenek berketurunan Cina

Fatimah menunjukkan sijil kelahirannya.
Fatimah menunjukkan sijil kelahirannya.
A
A
A

MELAKA - Seorang warga emas berharap hajatnya untuk bertemu adik-beradik atau saudara kandung yang terpisah sejak kecil tercapai sebelum menutup mata.

Fatimah Abu Bakar, 85, yang berketurunan Cina, dibesarkan oleh keluarga angkat Melayu sejak bayi dan tidak pernah mengetahui asal-usul keluarga kandungnya, sekali gus menimbulkan keinginan untuk menjejaki semula warisnya.

Menurutnya, berdasarkan cerita yang dimaklumkan kepadanya, dia diserahkan kepada keluarga angkat ketika zaman pendudukan Jepun berikutan kesukaran hidup yang dihadapi ibu bapa kandungnya.

“Keluarga angkat saya ialah Allahyarham Abu Bakar yang merupakan seorang guru besar di Ayer Molek.

“Berdasarkan maklumat pada sijil kelahiran, saya dilahirkan pada 6 Februari 1941 dan ketika itu ibu bapa kandung saya tinggal di Jalan 484, Tengkera Road.

“Bapa kandung saya bernama Chan Ghee, berasal dari China, berketurunan Hokkien dan bekerja sebagai buruh, manakala ibu kandung saya, Tan Oi, berketurunan Inggeris serta dilahirkan di Melaka,” katanya yang kini menetap Ayer Molek di sini.

Mohd Zamri (berdiri, kanan) bersama ibunya, Fatimah.
Mohd Zamri (berdiri, kanan) bersama ibunya, Fatimah.

Fatimah yang merupakan pesara guru memperoleh Sijil Lower Certificate of Education (LCE) sebelum melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Melaka.

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudian berkhidmat sebagai guru di beberapa buah sekolah di negeri ini sebelum bersara pada 6 Februari 1996 ketika bertugas di Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Md Salleh Hussin dan dikurniakan sembilan cahaya mata serta kini mempunyai lebih 20 cucu dan cicit.

Mengimbau kisah hidupnya, Fatimah berkata, dia hanya mengetahui dirinya merupakan anak angkat selepas berkahwin dan sejak itu menyimpan hasrat untuk mencari keluarga kandung.

“Saya dan anak-anak pernah mencari maklumat di sekitar Jalan Tengkera berdasarkan alamat yang tertera pada sijil kelahiran, namun masih belum menemui sebarang petunjuk.

“Saya tidak tahu sama ada masih mempunyai adik-beradik atau saudara-mara yang masih hidup. Walaupun peluang untuk bertemu mereka agak tipis, saya tetap berharap hasrat itu dapat menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, anak sulungnya, Mohd Zamri Md Salleh, 60, berkata, mereka pernah menjejaki rumah lama yang dipercayai pernah didiami keluarga kandung ibunya, namun usaha itu tidak membuahkan hasil kerana rumah berkenaan telah beberapa kali bertukar pemilik.

Orang ramai yang mengenali waris Chan Ghee, Tan Oi atau mempunyai sebarang maklumat mengenai keluarga mereka boleh menghubungi Mohd Zamri di talian 017-313 4794 bagi membantu mengesan keluarga kandung Fatimah.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!