Kes juruterbang didakwa seludup dadah: Anthony Loke perlu beri penjelasan - Pemuda MCA

Mike Chong
Mike Chong
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook digesa tidak mengetepikan isu kelemahan kawal selia susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia yang didakwa cuba menyeludup 26 kilogram dadah ke negara itu.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, walaupun kesalahan yang didakwa itu membabitkan tindakan individu, kementerian berkenaan perlu menangani persoalan lebih besar berkaitan keberkesanan mekanisme pemantauan dan pengawasan terhadap kru penerbangan.

Beliau berkata, kes berkenaan memberi tamparan serius terhadap imej Malaysia dan industri penerbangan negara.

Katanya, ia turut menimbulkan persoalan sama ada prosedur saringan, pemeriksaan tahap kesihatan serta pematuhan peraturan sedia ada cukup kukuh bagi mengesan serta mencegah individu yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan ratusan penumpang daripada terlibat dalam kegiatan jenayah serius.

"Walaupun siasatan masih dijalankan, kes ini telah mendedahkan kebimbangan yang munasabah mengenai keberkesanan mekanisme pengawasan dan pemantauan yang mengawal selia kru penerbangan.

"Orang ramai berhak mengetahui sama ada prosedur saringan, pemeriksaan tahap kesihatan dan pematuhan sedia ada benar-benar berkesan untuk mengesan serta mencegah situasi sedemikian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mike Chong berkata, laporan bahawa juruterbang terbabit didakwa positif dadah jenis methamphetamine, MDMA dan kokain menjadikan persoalan berhubung prosedur saringan dadah semakin penting.

Katanya, jika laporan berkenaan benar, rakyat Malaysia berhak mengetahui sama ada protokol saringan dadah sedia ada mencukupi, kekerapan pemeriksaan dilakukan serta sama ada terdapat kelemahan dalam sistem semasa yang menyebabkan kes itu gagal dikesan lebih awal.

Beliau berkata, isu berkenaan bukan hanya berkaitan seorang individu, sebaliknya membabitkan usaha memastikan keyakinan awam terhadap kerangka keselamatan penerbangan Malaysia terus terpelihara.

Artikel Berkaitan:

"Kru penerbangan tertakluk kepada piawaian profesional yang sangat tinggi kerana mereka memikul tanggungjawab besar terhadap keselamatan penumpang.

"Sebarang kelemahan dalam pengawasan berisiko menjejaskan keyakinan terhadap sistem yang direka untuk melindungi penumpang serta mengekalkan integriti industri penerbangan," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan turut membawa implikasi lebih luas terhadap reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa, terutama apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diiktiraf sebagai antara hab penerbangan utama di rantau ini.

Katanya, insiden seperti itu, jika tidak ditangani secara telus dan tegas, boleh menjejaskan keyakinan antarabangsa terhadap standard penerbangan Malaysia serta kredibiliti kawal selia negara.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik komitmen Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan serta menjalankan semakan dalaman.

Bagaimanapun, katanya, semakan dalaman sahaja tidak mencukupi dan Kementerian Pengangkutan perlu menjalankan kajian menyeluruh terhadap prosedur kawal selia serta saringan kru penerbangan sedia ada.

"Kerajaan perlu mengenal pasti sebarang kelemahan sistemik dan melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan.

"Paling penting, menteri perlu memberikan penjelasan penuh kepada rakyat mengenai langkah perlindungan yang sedang dilaksanakan, sama ada prosedur berkenaan dipatuhi dalam kes ini serta apakah tindakan tambahan yang akan diperkenalkan bagi memperkukuh sistem pemantauan," katanya.

Mike Chong berkata, akauntabiliti bukan bermaksud mencari kesalahan sebelum siasatan selesai, tetapi memastikan sebarang kelemahan yang didedahkan melalui kes berkenaan ditangani secara telus dan tegas.

"Industri penerbangan Malaysia telah membina reputasi selama berdekad-dekad. Melindungi reputasi itu memerlukan lebih daripada sekadar menyifatkan kes ini sebagai insiden terpencil.

"Ia memerlukan tindakan tegas, ketelusan lebih tinggi serta komitmen jelas bahawa segala langkah munasabah akan diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!