Waris dua pelajar maut terima TPSM RM5,500, hasrat tunaikan badal haji ubati rindu anak

TELUK INTAN - Waris kepada dua pelajar perempuan yang maut dalam nahas di Teluk Intan pada minggu lalu berhasrat menunaikan badal haji menggunakan wang tuntutan Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia (TPSM) yang diterima.
Kedua-dua keluarga masing-masing menerima bayaran RM5,500 yang disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah sempena program Ziarah Cakna di Kampung Padang Tembak pada Selasa.
Bapa kepada Allahyarham Nur Atikah, Mohd Said Zaini, 55, berkata, tiada perkara lebih bermakna selain menggunakan bantuan itu untuk kebaikan anak bongsunya itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu sebabkan dua remaja maut positif dadah
[VIDEO] Pemandu kereta didakwa bunuh dua remaja, memandu bawah pengaruh dadah
'Biarlah yang melanggar dapat balasan setimpal' - Bapa
"Itu niat saya...kalau boleh nak buat badal haji untuk dia. Selebihnya simpan untuk mak dia," katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau mengakui, kenangan bersama anaknya masih segar, malah sehelai baju uniform Kadet Polis milik arwah yang diterima daripada pihak sekolah menjadi pengubat rindu.
Menurutnya, baju tersebut dibeli bersama arwah dan kini disimpan sebagai kenangan terakhir.
“Saya tengok baju ini pun dah tak tahu nak cakap apa...teringat masa kami pergi beli dulu dengan dia,” katanya sebak.
Mohd Said berkata, rutin hariannya kini berubah selepas kehilangan anak yang sebelum ini dihantar ke sekolah setiap hari sejak kecil.
“Selama 16 tahun saya hantar dia ke sekolah, hari-hari... sekarang sunyi, rasa kurang satu dalam hidup,” katanya.
Bapa kepada Nur Dania Arissa, Salim Husain, 43, turut berkongsi hasrat sama untuk menunaikan badal haji menggunakan wang yang diterima.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pelbagai pihak yang hadir memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga.
“Saya tak sangka ada sumbangan seperti ini. Saya sangat terharu dengan semua yang datang membantu.
“Dengan duit ini saya nak buatkan badal haji untuk arwah. Kalau ada lebih, saya akan gunakan untuk adik dia bagi kegunaan sekolah,” katanya.

Menurutnya, ahli keluarga terutama ibu dan adik arwah masih dalam proses menerima kenyataan kehilangan tersebut.
“Kadang-kadang bila pagi, adik dia masih teringat nak kejut kakak. Waktu malam pula tertanya-tanya kenapa dia tak balik... memang susah nak terima,” katanya.
Isterinya, Saodah Lami, 43, kerap menziarahi kubur setiap hari bagi mengubati kerinduan terhadap arwah, tambahnya.
Sementara itu, Khairudin berkata, pihak sekolah dan kaunselor akan terus memberikan sokongan emosi kepada keluarga bagi membantu mereka melalui fasa sukar ini.
“Walaupun jumlah tuntutan ini tidak mampu menggantikan nyawa, ia diharap dapat meringankan beban keluarga serta menjadi tanda bahawa kebajikan murid sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyediakan perlindungan Takaful kepada pelajar bukan sahaja bagi kes kemalangan maut, malah meliputi pelbagai musibah lain seperti kecederaan, kemalangan kecil dan bencana termasuk banjir, dengan jumlah tuntutan bergantung kepada tahap kes.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 petang pada 26 Julai lalu, Nur Dania Arissa, 17, dan Nur Atikah, 16, maut selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam nahas tiga kenderaan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia di Jalan Padang Tembak di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

