KUANTAN - Penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar Ali, 28, menerima faedah hilang upaya sementara RM15,261.32 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri di sini, semalam.

Kejadian itu menyebabkan penjaga gawang Tok Gajah itu tidak dapat turun beraksi dan mendapat cuti sakit selama 194 hari.

Mengalami kemalangan semasa latihan pada Julai tahun lalu menyebabkan kecederaan pada lutut kanan, pemain berasal dari Maran itu menerima pampasan tersebut daripada Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Perkeso Negeri, Mohd Shahar Ismail.

Rosfaizul berkata, dia mengalami kecederaan itu apabila dirempuh pemain lain ketika latihan dan terpaksa menjalani rawatan serta ditahan selama 10 hari di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Menurutnya, dia bersyukur kerana mendapat perhatian Perkeso dan pampasan diterima akan digunakan sebaik mungkin.

“Setakat ini, saya tidak dapat beraksi dengan lebih kerap kerana kesakitan pada lutut masih terasa.

“Untuk musim ini, saya hanya dapat beraksi menggantikan rakan, Wan Muhd Azraie Wan Teh ketika perlawanan pertama Piala FA menentang Felda United,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya gandingan pemain musim ini, dia gembira kerana keserasian dan gandi-ngan lebih baik untuk musim ini dan ia menambahkan semangatnya untuk membantu Pahang mencapai misi kembali beraksi ke Liga Super musim depan.

Sementara itu, Mohd Shahar memberitahu, kejadian dialami pemain tersebut adalah bencana kerja melayakkannya menerima faedah hilang upaya sementara.