KUANTAN - “Tolong kakak, tolong Baby…”

Itulah jeritan terakhir seorang pelajar Tingkatan Tiga, Siti Nur Fatiha Mahadi, 15 dari Taman Tas 6, di sini dipercayai diculik oleh dua lelaki dan seorang wanita tidak dikenali, kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa bersama dua adiknya ke kedai telekomunikasi di taman terbabit, kira-kira jam 3 petang.

Malah keterujaan remaja itu untuk kembali ke sekolah bersama rakan-rakannya, selepas cuti penggal pertama selama seminggu, musnah akibat kejadian tersebut.

Anak sulung kepada pasangan Mahadi Muda, 40, dan Nor Mala Mohd Lazin, 33, dipercayai pergi ke kedai terbabit kira-kira 100 meter dari rumahnya untuk membeli kad tambah nilai pra bayar bersama dua adiknya, Muhamad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aishah, 11.

Adiknya, Siti memberitahu, dia dan Syahmi tersentak, apabila melihat kakaknya ditarik masuk oleh seorang lelaki yang keluar dari kende­raan dipercayai jenis Honda warna ungu ketika dalam perjalanan menuju ke kedai terbabit.

Menurutnya, dua lelaki berada di tempat duduk belakang dan pemandunya adalah wanita dan salah seorang lelaki terbabit membuka pintu belakang sebelum menarik Fatiha serta sempat mengantuk kepala kakaknya sebanyak dua kali.

“Saya dan Syahmi cuba membantu menarik kakak, tapi tak terdaya dan nyaris tersepit di pintu kereta, sebelum mendengar jeritan meminta tolong daripada kakak sebelum kereta itu terus memecut meninggalkan kami.

“Kami berdua terus pulang ke rumah dan memberitahu kejadian yang menimpa kakak kepada ibu,” katanya.

Nurul Aishah ditemui ketika menceritakan semula kejadian terbabit ketika keluarga itu kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Chang Hong Seong di rumahnya, di sini, semalam.


Fatiha tiada musuh

Sementara itu, Nor Mala Mohd Lazin, dia terkejut apabila mendapati kedua-dua anaknya itu pulang tergesa-gesa ke rumah sambil menangis.

“Saya yang tidak sedap hati terus bertanya kenapa mereka menangis sebelum terperanjat sekali lagi apabila diberitahu kakak mereka Fatihah dilarikan orang” katanya.

Menceritakan sebelum detik kehilangan anak sulungnya itu, Nor Mala memberitahu, sehari sebelum kejadian terbabit, Fatiha ada meluahkan perasaan tidak sedap hatinya sebelum dipujuk olehnya.

“Malah sebelum keluar, dia sempat berkata, ‘hati tak sedap, macam sakit jantung je’ sebelum bersama-sama adiknya pergi ke kedai itu.

“Dia seorang anak yang baik, ceria dan peramah, tak punya musuh, aktif dalam sukan olahraga dan berhasrat menjadi anggota polis,” katanya.

Dakwanya, sepanjang masa anaknya memang rapat dengan dengannya dan menafikan jika anaknya ada mempunyai hubungan istimewa dengan sebarang lelaki.


Keluarga sedih, tertekan

Menurutnya, dia dan keluarganya kini berasa amat sedih dan tertekan dengan kehilangan Fatiha kerana risau dengan keselamatan anaknya itu.

“Sebelum ini, dia tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan, Fatiha anak yang baik, dia juga tidak akan ke mana-mana tanpa saya dan keluarga.

“Tolong pulangkan anak saya, jangan apa-apakan dia, saya rayu kembalikan Fatiha ke pangkuan kami,” dakwanya ada merujuk pada pengamal perubatan tradisional dan mendakwa Fatiha masih dalam kawasan Kuantan.

Nor Mala kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading di sini kira-kira jam 4 petang, hari yang sama (Ahad).

Dalam pada itu, Mahadi yang juga seorang pemandu lori sudah menghubungi talian telefon bimbit anaknya, namun sudah dimatikan selain berusaha mencarinya dengan merujuk kepada kawan-kawannya tetapi usaha itu gagal menemui sebarang petunjuk setakat ini.

“Saya mendapat panggilan daripada isteri ketika berada di Paka, Terengganu atas urusan kerja, sebaik mendapat tahu kejadian yang menimpa anak sulung, saya terus pulang ke sini,” katanya.

Mahadi merayu pada orang ramai yang mengenali dan menjumpai anaknya supaya berhubung dengannya di talian 019-9897807/019-9813361 ataupun menghubungi balai polis berhampiran.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Superintedan Kamaruzzaman Jaafar mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berkenaan kes tersebut kira-kira jam 4 petang.

Katanya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Kita juga sedang menyiasat sama ada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan itu mengenali suspek atau pun tidak.

 “Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan akan disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menculik daripada penjaga yang sah,” katanya

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Seorang lelaki maut akibat ditikam dua individu tidak dikenali di hadapan sebuah pusat hiburan di Lorong Haji Ahmad 6 di sini, awal pagi tadi.
  • KUANTAN - Masyarakat India diminta bersedia untuk menyokong dan mengundi Pas pada PRU14 bagi membolehkan parti tersebut memerintah negeri ini.
  • KUANTAN - Tindakan ibu bapa kanak-kanak dua tahun yang mahu mengadakan perbincangan dengan pengasuhnya di Balai Polis Air Puteh, di sini, mengundang kegusaran kepada warga emas terbabit.
  • KUANTAN - Selepas mereka mencuri motosikal dan meleraikan komponen satu persatu, mereka menawarkan barangan tersebut di laman sosial yang dipercayai mempunyai pelanggan tetap.
  • KUANTAN - Ibu sarat mengandung tujuh bulan cemas apabila rumahnya di Kampung Bukit Kuin, dilanda ribut petang kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.