KOTA BHARU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jahaeik) menyerbu lokasi dipercayai pengikut Syiah dan menahan kira-kira 50 individu di sebuah premis di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, malam tadi.

Serbuan bersama pihak polis itu dibuat sebelum tengah malam menjelang detik sambutan Hari Kebangsaan.

"Ya ada tangkapan, ia terdiri daripada lelaki dan wanita ditahan dalam serbuan tersebut. Kita mendapat aduan lokasi itu dijadikan sarang Syiah beberapa tahun lalu," kata seorang sumber terdekat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan pihaknya sekadar membantu dalam operasi tersebut.

"Kita hanya memantau keselamatan dalam operasi itu. Ia dibuat jabatan agama (Jahaeik)," katanya.

Dalam pada itu, usaha mendapatkan kenyataan Pengarah Jaheaik negeri, Datuk Che Mohd Rahim Jusuh tidak berhasil.