KOTA BHARU - Seorang guru Fardu Ain maut dipercayai dicampak keluar dari sebuah kenderaan yang dinaiki penjenayah dalam kejadian di Kampung Sat Hilir, Tanah Merah kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, Rafiah Seman, 54, ditemui terbaring di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri oleh seorang pemandu wanita berusia 46 tahun.

“Mengikut dakwaan pemandu wanita tersebut, kereta yang dipandunya telah berselisih dengan sebuah Proton Iswara warna hitam dan gelap.

“Pada waktu itu, dia dipercayai melihat mangsa meronta-ronta di mana di dalam kereta tersebut terdapat seorang pemandu lelaki dan seorang lagi lelaki berada di tempat duduk belakang bersama dengan mangsa.

“Dia melihat pintu belakang sebelah kiri kereta itu terbuka dan seseorang yang memakai pakaian berwarna hijau telah dicampak keluar,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu wanita tersebut berpatah balik dan pergi ke tempat kejadian dan apabila sampai dia mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Mazlan berkata, dengan bantuan orang ramai mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan selanjutnya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mangsa mengalami bengkak di bahagian belakang badan, benjol di bahagian belakang kepala dan luka serta terdapat pendarahan.

“Selain itu, terdapat juga bengkak di bahagian dahi kanan mangsa. Mangsa yang juga merupakan ahli Amanah Ikhtiar disahkan meninggal dunia pada jam 8.49 malam di HUSM sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, semasa kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Lemal, Pasir Mas ke Pejabat Amanah Ikhtiar di Kampung Sat Hilir bagi urusan pinjaman.

Beliau berkata, mangsa dikatakan selalu berulang alik dari rumah ke tempat tersebut dengan menaiki kereta prebet sapu (teksi haram).

Mazlan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

“Saya juga memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut agar tampil ke hadapan.

“Orang ramai juga dinasihati agar tidak mendekati atau mengikut orang yang tidak dikenali mereka bagi mengelak sebarang kejadian jenayah berlaku,” katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Mohd Saiful Zainal Abidin, 30, berkata, beberapa hari sebelum kejadian ibunya itu yang juga merupakan seorang bekas tentera banyak mendiamkan diri daripada bercakap.

“Ibu saya seorang yang aktif, dan dia sering berulang alik dari Lemal, Pasir Mas ke Tanah Merah kerana mengajar fardu ain di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1.

“Dia juga menyertai Amanah Ikhtiar di sana dan sering berulang alik dengan menaiki bas, teksi serta prebet sapu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, HRPZ II di sini.

Rafiah yang mempunyai lima orang anak dan empat cucu itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Lemal, Pasir Mas.

caption

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Feronsik, HRPZ II untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.