Amirudin cabar Azmin jadi 'anak jantan', hadir beri keterangan

Amirudin dan Azmin Ali
Amirudin dan Azmin Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mencabar Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya menghadirkan diri bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Amirudin menyifatkan perkembangan itu adalah sebagai risiko yang perlu ditanggung selepas Azmin membangkitkan satu-satu isu melibatkan pihak lain walaupun dalam persidangan negeri.

"Itu risiko harus ditanggung oleh beliau, sebab saya faham tentang kekebalan dalam dewan...dan imuniti dalam dewan adalah untuk mengukuhkan bicara tapi bila dia menyebarkan kembali apa diucapkan itu, dia kena sedar risiko itu.

"Diakan anak jantan (jadi) dia kena pergilah (tampil ke balai polis)," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor 2024 di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Azmin mendakwa menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah berikutan tindakannya membangkitkan isu rakyat serta pentadbiran kerajaan ketika persidangan negeri itu.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang turut dilaporkan berkata, beliau juga diminta menghadirkan diri bagi memberi keterangan di IPD Shah Alam pada Selasa.

Amirudin (dua dari kanan) ketika Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor 2024 di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa.
Amirudin (dua dari kanan) ketika Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor 2024 di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, Azmin meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjual hak pembangunan PJ Sentral yang dijangka memberi pulangan bernilai RM1.04 bilion kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pada nilai RM270 juta.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Azmin juga memetik laporan daripada kertas perniagaan The Edge pada 29 Februari lalu bahawa pemaju hartanah, Tropicana Corporation Bhd, memperoleh sebidang tanah pajakan di Kota Damansara dengan harga RM224 juta.

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan beliau tidak terlibat dalam membuat pelaporan sebaliknya perkara itu diputuskan pihak yang terbabit malah berada di luar negara ketika persidangan negeri itu berlangsung.

"Saya tak terlibat sebab saya ada di luar negara untuk beberapa lama dan saya hanya dimaklumkan pihak terbabit membuat laporan itu kerana merasakan mereka dikritik dan difitnah, dan itu ceritanya.

"Saya tidak terlibat langsung untuk membuat pelaporan atau memberi arahan walaupun beliau (Azmin turut) memanipulasi (isu berkenaan) ketika Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu dan saya tidak mahu jawab.

"Ini kerana sudah jawab di dalam dewan secara jelas, tuntas dan teliti beberapa dakwaannya menggunakan data yang lapuk dan sebagainya, namun beliau masih lagi menyebarkannya," katanya.

Tambahnya, sehubungan itu pihak pengurusan PKNS merasakan ada perkara yang tidak adil bagi mereka dan tampil membuat laporan terhadap Ketua Pembangkang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!