Gubal semula 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan

Mohd Nassuruddin
Mohd Nassuruddin
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan komited menggubal semula 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan Februari lalu.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, ketetapan itu selari dengan usul yang diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mac lepas.

"Sebagai kerajaan yang meletakkan Islam menjadi dasar pentadbiran, tentunya kami tidak boleh sekadar berpeluk tubuh berdiam diri dengan usaha pihak-pihak tertentu.

"Hari demi hari mereka mencari ruang yang boleh mencabar apa sahaja berkaitan agenda meninggikan syiar Islam terutama dalam aspek perundangan dan institusi syariah," katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah (KONSIS 2024) pada Selasa.

Menurut beliau, semua agensi-agensi kerajaan negeri diseru untuk memainkan peranan masing-masing dalam memartabatkan perundangan Islam.

"Program-program penerangan mengenai kepentingan perundangan Islam dan tanggungjawab selaku seorang Muslim perlu diadakan secara berterusan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

"Besarlah harapan saya agar semua rakyat Kelantan dapat bersama-sama dengan pihak kerajaan negeri untuk memartabatkan syariah Islam dalam semua aspek kehidupan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan berhasrat untuk mengembalikan semula 16 daripada 18 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan Februari lepas untuk diluluskan semula dalam perundangan negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, perkara itu akan dibincangkan menerusi Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah pada 21 Mei ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!