Cuaca panas beri limpahan rezeki buat pengusaha sotong kering

Fazil Zabidi menunjukkan sotong kering yang telah melalui proses pengeringan ketika ditemui di bengkel pemprosesan sotong di Kampung Air Tawar, Besut.
Fazil Zabidi menunjukkan sotong kering yang telah melalui proses pengeringan ketika ditemui di bengkel pemprosesan sotong di Kampung Air Tawar, Besut.
A
A
A

BESUT - Musim panas yang melanda turut memberi limpahan rezeki buat seorang pengusaha sotong kering di Kampung Air Tawar di sini kerana mampu meraih pengeluaran hasil yang lumayan.

Fazil Zabidi Zakaria, 52, berkata, keadaan cuaca panas dan kering membantu mempercepatkan lagi proses pengeringan sotong sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil produk tersebut.

Menurutnya, limpahan cahaya matahari yang mencukupi membantu produk yang dihasilkan supaya lebih berkualiti berbanding menggunakan kaedah pengeringan lain.

"Tekstur sotong yang dikeringkan menggunakan cahaya matahari lebih cantik malah warnanya juga lebih putih berbanding dengan sotong yang dikeringkan menggunakan kaedah salai.

"Selain itu, proses pembuatannya juga lebih cepat kerana ia dapat dihasilkan dalam tempoh setengah hari sahaja dengan menggunakan seratus peratus sinar matahari," katanya ketika ditemui pemberita di bengkel pemprosesan sotong di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, Fazil Zabidi berkata, jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, dia perlu menggunakan kaedah salai bagi memastikan sotong tersebut dapat dikeringkan dan produktiviti produk berkenaan tidak terbantut.

"Bila guna cahaya matahari ini kita akan lebih berjimat kerana tak perlu keluarkan kos untuk untuk beli arang dan sebagainya.

"Lagipun sotong yang dikeringkan menggunakan cahaya matahari lebih baik kerana sotong salai akan mempunyai bau arang. Walaupun begitu, ia bergantung kepada selera dan minat masing-masing," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Fazil Zabidi menyusun sotong-sotong untuk dikeringkan di bengkel pemprosesan sotong di Kampung Air Tawar, Besut.
Fazil Zabidi menyusun sotong-sotong untuk dikeringkan di bengkel pemprosesan sotong di Kampung Air Tawar, Besut.

Bapa kepada enam anak itu berkata, sotong kering yang dijual pada harga RM180 setiap satu kilogram itu digemari oleh masyarakat Cina dan mendapat permintaan tinggi oleh pelanggan dari Kuantan, Ipoh, dan Pulau Pinang.

Katanya, setakat ini sebanyak 400 kilogram (kg) sotong kering telah dihasilkan dalam tempoh sebulan dengan menggunakan kira-kira 1,600kg sotong basah.

"Secara purata, setiap satu kilogram sotong kering memerlukan kira-kira empat kilogram sotong segar.

"Sotong kering yang dihasilkan juga perlu melalui beberapa peringkat bermula daripada proses pembersihan sehingga pengeringan," katanya.

Dalam pada itu, Fazil Zabidi berkata, dia turut berdepan dengan masalah kekurangan bekalan sotong segar walaupun persaingan dalam kalangan pengusaha sotong kering agak berkurangan.

Katanya, proses menghasilkan sotong kering akan dihentikan buat sementara sewaktu ketiadaan bekalan dan kembal beroperasi selepas memperoleh bekalan sumber protein itu.

Fazil Zabidi menunjukan sotong-sotong segar yang akan dikeringkan dibawah panas terik matahari.
Fazil Zabidi menunjukan sotong-sotong segar yang akan dikeringkan dibawah panas terik matahari.

"Proses pengeluaran sotong kering juga bergantung kepada bekalan, ada masa banyak sotong kita pernah dapat sehingga 300 kg sehari. Kalau masa tak ada kita akan rehat sehari dua dan kembali mendapatkan bahan mentah itu.

"Biasanya bekalan sotong segar saya peroleh daripada pembekal Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) atau daripada mereka yang mencandat sotong," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!