'Lubang maut' ancam nyawa penduduk Puncak Alam

Harrison (dua dari kiri) bersama penduduk menunjukkan salah satu laluan berlubang yang meresahkan penduduk di Taman Alam Jaya dan Alam Perdana, Puncak Alam.
Harrison (dua dari kiri) bersama penduduk menunjukkan salah satu laluan berlubang yang meresahkan penduduk di Taman Alam Jaya dan Alam Perdana, Puncak Alam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 5,000 penduduk di Taman Alam Jaya dan Alam Perdana, Puncak Alam di sini berdepan risiko keselamatan berikutan terpaksa melalui jalan berlubang setiap hari.

Seorang penduduk, Kamal Abdul Rashid, 63 berkata, laluan utama di dua kawasan perumahan itu boleh diibaratkan ‘lubang maut’ disebabkan struktur jalan berlubang dan tidak diselenggara dengan baik.

Menurutnya, banyak kes kemalangan berlaku hingga mengorbankan nyawa pengguna jalan raya.

"Kami terpaksa berhati-hati terutama menunggang motosikal bagi elak terbabas atau terjerlus ke dalam lubang," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Kamal memberitahu, keadaan itu mengundang rasa tidak selesa kerana perlu mengelak lubang di laluan sepanjang tiga kilometer itu.

Kamal yang menjadi antara penduduk terawal di perumahan itu pada tahun 2005 mengakui masalah itu membelenggu penduduk sejak sekian lama.

Kamal memberitahu, keadaan itu diburukkan lagi dengan cuaca tidak menentu terutama pada musim hujan menyebabkan struktur jalan mudah pecah sehingga terbentuknya lubang.

"Penduduk sudah jemu dengan masalah ini yang masih tiada kesudahan walaupun sudah membangkitkan perkara ini berulang kali kepada pihak berwajib," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Shafid Hanafi Salleh, 34, berkata, keadaan jalan berlubang itu disebabkan kenderaan berat yang mengangkut barang bagi projek pembangunan perumahan berhampiran.

Shafid
Shafid

Katanya, jalan itu adalah laluan utama penduduk setiap hari untuk berulang alik atas urusan kerja, namun bimbang ia tidak selamat.

"Pihak berwajib perlu memantau kenderaan berat yang keluar masuk di laluan ini termasuk mengarahkan mereka membaikpulih kerosakan," tambahnya.

Selain itu, katanya, sebahagian laluan sedia ada juga tidak dilengkapi papan tanda ciri keselamatan.

"Kita berharap langkah keselamatan dapat diambil terutama mereka yang melalui jalan ini pada sebelah malam," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan turut meninjau masalah dibangkitkan penduduk.

Harrison berkata, masalah dibangkitkan penduduk itu bukan isu baharu, sebaliknya telah lama diperjuangkan penduduk di kawasan terbabit.

"Hari ini saya bersama-sama MPKS (Majlis Perbandaran Kuala Selangor) dan dua pemaju perumahan berkesempatan untuk melihat sendiri keadaan jalan rosak.

"Laluan ini terdapat banyak kawasan perumahan dan juga industri, malah saya akui telah menerima beratus aduan mengenai masalah tersebut," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, beberapa langkah penyelesaian akan diambil antara MPKS dan pihak pemaju bagi menangani masalah berkenaan.

"Pihak pemaju dan MPKS telah mencapai kata sepakat untuk segera menaik taraf dan membaik pulih jalan berlubang.

"Ini bukanlah satu jalan penyelesaian muktamad, tetapi saya faham akan ada aduan lagi namun dari semasa ke semasa kita akan berkongsi maklumat bagi menyelesaikan masalah rakyat pada masa akan datang," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!