KOTA BHARU – Sembilan pemain bola sepak Kelantan terpilih selaku penerima anugerah Pingat Bakti sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang ke-43.

Mengetuai senarai ialah penjaring terbanyak Kelantan dalam saingan Liga Super, Mohammad Ghaddar, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan penjaga gawang kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Turut terpilih, pemain tengah Kelantan dan kebangsaan, Mohd Shakir Shaari, S Chanturu, Muhammad Ramzul Zahini Adenan serta tonggak pertahanan, Mohd Farisham Ismail.

Sementara itu, pemain sayap lincah, Mohd Nurul Azwan Roya yang mengesahkan menyertai pasukan Johor dalam saingan Liga Malaysia musim depan juga turut terpilih menerima pingat tersebut.

Ini merupakan kali kedua Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan pingat kepada pemain bola sepak Kelantan setelah turut berbuat demikian pada perayaan ulang tahun keputeraan baginda tahun lalu.

Pemilihan sembilan pemain tersebut sebagai menghargai sumbangan mereka kerana membantu Kelantan meraih kejuaraan treble buat pertama kali dengan memenangi tiga trofi iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia dalam kancah Liga Malaysia pada musim ini.

Malah Kelantan menjadi pasukan negeri kedua mencipta treble selepas Kedah di bawah bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah memenanginya sebanyak dua kali pada tahun 2007 dan 2008.

Pada tahun lalu, Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim dan bekas Ketua Jurulatih, B Sathianathan dikurniakan pingat Bintang Seri Mahkota Kelantan (SMK) oleh Sultan Muhammad V.

Selain itu, empat pemain diketuai Kapten, Mohd Badhri Radzi, Mohd Daudsu Jamaluddin, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid turut dianugerahkan Pingat Setia pada majlis sama tahun lalu.

Kesemua mereka dipilih di atas kejayaan membawa The Red Warriors muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali pada tahun 2010 sekali gus menamatkan penantian selama 89 tahun untuk merangkul piala bola sepak paling berprestij di negara ini.