JOHOR BAHRU – Tiga keluarga nekad berpindah ke rumah mereka yang dibeli di Taman Desa Kempas, dekat sini, meskipun kediaman tersebut belum mendapat sijil layak menduduki (CF).

Mereka mendakwa telah membeli pangsapuri kos sederhana rendah dengan harga RM89,000 itu sejak 13 tahun lalu, namun projek pembangunan rumah tersebut terbengkalai yang sepatutnya siap sembilan tahun lalu.

Lebih mengecewakan pembeli terpaksa menjelaskan bayaran ansuran pinjaman rumah tersebut mengikut kadar tertentu kepada institusi kewangan sejak beberapa tahun lalu selain terpaksa membayar ansuran rumah sewa dalam masa yang sama.

Suri rumah, Arihasni Arifin, 35, berkata, dia dan suami, Norazhar Ahmad, 42, nekad berpindah ke rumah tersebut berikutan telah menunggu sejak sekian lama selain kecewa tiada penjelasan yang diterima daripada pemaju perumahan berhubung masalah tersebut.

“Saya sudah mula memindahkan barang kelengkapan rumah hari ini dan akan tinggal di sini. Selain itu, saya turut beli sebuah generator berharga RM980 untuk menjana elektrik. Saya tidak kisah terpaksa angkut air setiap hari, janji kami sekeluarga dapat tinggal di rumah sendiri.

“Saya dan suami juga telah membuat laporan polis. Selepas ini, kami akan pasang jeriji dan berserah tentang soal keselamatan kami.

“Saya sekeluarga tak rasa takut dan harap dengan tindakan kami ini dapat menyegerakan tindakan susulan oleh pihak pemaju,” katanya ketika lawatan Ketua Penyelia Pusat Aduan Kempas, Suhaizan Kaiat bersama Adun Pengkalan Rinting, Cheo Yee How di taman perumahan berkenaan.

Tindakan sama turut diambil suri rumah, Faridah Bari, 47, yang sanggup menggunakan lilin setiap hari sementara menunggu pihak yang bertanggungjawab memasang elektrik di rumah mereka.

“Suami saya hanya bekerja sebagai tukang paip dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM2,000. Saya pula tidak bekerja. Ketiga-tiga anak saya dari umur 14 hingga 23 tahun masih belajar dan kami tidak tahan terpaksa membayar kos untuk dua rumah

“Setiap bulan suami saya perlu bayar RM600 untuk ansuran bulanan rumah yang dibeli dan RM350 untuk rumah yang disewa di kawasan Lurah, Kempas. Ini belum termasuk pelbagai kos sara hidup yang lain. Jadi, kami bertekad untuk berpindah meskipun belum menerima CF,” katanya.

Manakala bagi, buruh Yahya Ayob, 43, dia mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah yang dibeli itu selepas yakin kediaman tersebut bakal dapat diduduki dalam masa terdekat ini.

“Saya rasa rumah ini dapat siap dalam masa terdekat ini. Cuma saya rasa tidak perlulah saya bayar wang rumah sewa di Taman Cempaka dengan kadar RM350 selepas ini. Saya hanya bekerja buruh dengan pendapatan tidak menentu, sekitar RM1,500 sebulan.

“Saya tidak tahu kepada siapa lagi nak adu masalah ini. Kasihan saya lihat isteri dan dua anak saya yang dari bayi hingga sudah bersekolah terpaksa lama menunggu rumah idaman yang tidak siap-siap. Jadi saya ambil keputusan untuk berpindah,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.