PONTIAN - Replika nanas yang diletakkan di tengah-tengah bulatan di Pusat Perdagangan Pontian sempena Fiesta Nanas 60, perlu dikekalkan sebagai tarikan pelancong.

Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, replika nanas itu bukan sahaja unik tetapi dapat menonjolkan keunikan daerah Pontian sebagai pengeluar nanas segar utama di negara ini.

Menurutnya, pelbagai binaan dan hiasan berbentuk nanas sudah pun diketengahkan di daerah ini termasuk tempat menunggu bas yang mempunyai rekaan buah tersebut.

“Binaan dan hiasan yang mengandungi unsur buah nanas selain replika buah itu yang banyak terdapat di daerah ini menjadikan Pontian sebagai Bandar Nanas.

“Oleh itu kerajaan negeri bersedia menerima pandangan agar bandar Pontian dikenali sebagai Bandar Nanas bagi menarik pelancong sebagaimana Cameron Highlands yang dikenali sebagai Bandar Strawberi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran kopi perisa nanas (Kopi Ngences) pada program Fiesta Nanas sempena sambutan ulang tahun ke-60 Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia  (LPNM) di Pusat Perdagangan Pontian di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd Anim Hosnan; Pegawai  Daerah Pontian, Mohd Shukri Mohd Masbah; Timbalan Ketua Pengarah LPNM,  Khairul Zamri Mohd Salleh dan Pengerusi PPK Pekan Nanas, Selamat Othman.

Siew Kiong berkata, cadangan tersebut juga akan memberi nilai tambah kepada daerah Pontian yang dikenali sebagai Bandar Penghujung  Benua Asia bagi  melonjakkan lagi sektor pelancongan tempatan.

Katanya, ketika ini satu-satunya muzium nanas juga terletak di Pontian yang menunjukkan daerah ini sebagai perintis kepada penanaman nanas dengan wujudnya kilang nanas.

“Syor ini cukup baik untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengiktiraf bandar Pontian sebagai Bandar Nanas dalam kalangan pelancong.

“Ia perlu diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga LPNM dengan mewujudkan Laman Nanas di bandar Pontian bagi memudahkan pelancong untuk melihat tanaman tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pengusaha atau peniaga tempatan juga boleh membuat pelbagai cenderamata berteraskan nanas seperti baju T, topi, seluar, pemegang kunci, lukisan dan sebagainya.

“Produk makanan yang berasaskan nanas seperti nasi nanas, tat nanas, sos nanas dan jus nanas harus diperkenalkan," katanya.