KEMAMAN - Jalan Jerangau-Jabor yang menjadi laluan alternatif bagi pengguna pantai timur-pantai barat, perlu dibaik pulih secara sempurna bagi menjamin keselamatan pengguna serta keselesaan mereka.
   
Menurut beberapa pemandu yang ditemui Bernama di sini, tindakan "menampal" berulang kali menjadikan jalan tidak rata dan boleh membahayakan pemandu terutama pada waktu malam.
   
Kawasan paling ketara ialah dari Air Putih di sini hingga ke persimpangan Bukit Besi di Dungun dan perkara ini sudah berlanjutan sejak empat tahun lalu, kata Ahmad Jamal Abas, 45, dari Kota Bharu, Kelantan.  
   
Beliau yang kerap menggunakan laluan itu untuk ke rumah saudara maranya, berkata sikap pihak berkuasa yang sekadar menampal dengan tar berulang kali di kawasan jalan yang berlubang bukan penyelesaian jangka panjang.
   
"Jalan tidak rata bukan sahaja menyebabkan pengguna tidak selesa tetapi juga boleh merosakkan kenderaan selain mengundang bahaya," katanya.

Sabri Ali, 38, dari Besut pula berkata keadaan jalan di situ berbahaya kepada pengguna terutama penunggang motosikal.
   
"Saya yang memandu kereta kena sentiasa berhati-hati kalau mengekori motosikal sebab penunggang selalunya akan ke tengah ke tepi jalan untuk mengelak kawasan jalan yang rosak dan kalau tidak berhati-hati, boleh terlanggar mereka ini," katanya yang bekerja di Kuantan, Pahang.
   
Seorang lagi pengguna, Fazli Yusri Ismail, 35, dari Setiu, berkata keadaan jalan itu menjadikan pemanduan pada sebelah malam lebih berbahaya.
   
"Walaupun sekarang jalan sudah tidak berlubang-lubang, namun keadaan yang tidak rata boleh menyebabkan kenderaan sukar dikawal terutama jika memandu laju," katanya.
   
Selain itu katanya, jalan juga tidak diselenggara dengan baik dengan sesetengah kawasan tidak mempunyai garisan putih di tengah-tengah jalan.  - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TELUK INTAN - Walaupun sudah banyak kejadian nahas berlaku di Tali Air 7, Chenderong Balai, akibat jalan berlubang, namun sehingga kini masalah itu masih belum diselesaikan.
  • KULIM - Laluan Sungai Ular - Serdang akan dibuka sepenuhnya kepada semua laluan menjelang 12 tengah malam esok apabila kerja pembinaan jambatan sementara telah siap.
  • CHENOR - Susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ke Pekan Tajau sememangnya wajar diwujudkan seiring cadangan pembinaan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (LCRL) di Daerah Maran, di sini.
  • KUANTAN - Kerajaan diminta mempercepatkan kelulusan permohonan membaik pulih dan melebarkan Jalan Panching, di sini, khususnya jalan di hadapan Kem 4 Briged Mekanize bagi memberi keselesaan kepada penduduk dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu.
  • SHAH ALAM - Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi memaklumkan peruntukan sebanyak RM1.37 juta daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) digunakan untuk pembangunan jalan luar bandar bagi daerah Klang.